KUALA TERENGGANU, 28 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Program Jejak Inovasi Sosial (JIS) 2025 Zon Timur telah mewujudkan kerjasama erat antara Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), komuniti setempat, kerajaan negeri dan penyelidik akademik.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata secara keseluruhan program itu telah mencapai objektifnya dalam memperkukuh kolaborasi dan mengumpul input penting bagi perancangan intervensi inovasi sosial yang lebih efektif serta bersasar pada masa akan datang.
Beliau berkata empat program utama dijalankan iaitu Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia, MyIS Komuniti dan MyIS Akar Umbi, Sukarelawan Innovation Catalyst (iCATS) dan Youth Innovative Challenge (YIC) membolehkan YIM menyelami dan menilai secara komprehensif pelbagai isu sosial, ekonomi dan alam sekitar melalui penjejakan produk inovasi dan bakat inovator sosial bagi Zon Timur khususnya di sekitar Kuala Terengganu.
"Antara yang menarik, Jejak Inovasi Sosial Zon Timur di Terengganu menjejaki isu dan cabaran nelayan. Sepanjang sesi libat urus beberapa isu utama telah dikenal pasti dan akan dianalisis untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pakar Bidang bagi penilaian dan cadangan solusi, seterusnya menentukan inovasi atau teknologi berpotensi direplikasi dalam komuniti berkenaan.
"Oleh itu, maklum balas daripada semua pihak terlibat dan berkepentingan amat bernilai kerana inovasi sosial lahir daripada pemahaman mendalam terhadap isu, cabaran dan realiti kehidupan masyarakat," katanya kepada pemberita pada Program JIS 2025 Zon Timur di sekitar Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim yang turut menyempurnakan acara kemuncak pelepasan kenderaan delegasi YIM bagi JIS 2025 Zon Timur.
Selain itu, Dr Sharmila berkata program YIC yang berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) telah mengangkat tiga pemenang daripada kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Terengganu.
Menurut beliau tiga pelajar berkenaan akan melalui satu lagi peringkat pertandingan antara zon bagi merebut geran MyIS Perintis keseluruhan berjumlah RM400,000 yang ditawarkan kepada 10 pemenang.
Beliau berkata seorang pelajar dengan produk inovasi terbaik pula akan dipilih untuk menimba pengalaman dan pelajaran dalam bidang teknologi serta inovasi di sebuah universiti di Switzerland.
"YIC satu pertandingan inovasi yang sangat menarik. Kita cuba mendapatkan produk inovasi akhir tahun yang mampu memberi impak sosial kepada komuniti daripada pelajar sama ada di peringkat Diploma, Ijazah dan Sarjana.
Terdahulu, Dr Sharmila turut meninjau hasil inovasi empat produk terpilih iaitu Ezy Cube di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT), pembuatan kraf Batik Modular di Kampung Banggol Donas di sini, penghasilan minyak pati pokok gelam di Jalan Kuala Berang dan inovasi mesin rumput Mercope di PSKT di sini.
Beliau berkata lawatan tersebut bertujuan mengenal pasti cabaran dan isu yang dihadapi daripada pelbagai aspek sepanjang proses penghasilan produk berkenaan.
"Kita nak tengok apa isu dan cabaran dihadapi seperti peningkatan kos dan sebagainya. Di situlah kita akan lihat elemen inovasi yang boleh kita bantu.
"Inovasi sosial bukan hanya melihat kepada hasil akhir produk, tetapi dalam prosesnya juga. Sebagai contoh pembuatan kraf Batik Modular kita tengok isunya daripada segi kos dan bahan yang digunakan untuk proses tidak tahan lama. Jadi kita harap ada antara penyelidik atau inovator yang berada di bawah ekosistem YIM dapat membantu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial