Oleh Thivyamalini Ramalu
PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) terus mengorak langkah dengan memperkenalkan pelbagai hasil inovasi dalam memastikan perkhidmatan veterinar negara kekal relevan dan responsif terhadap cabaran lapangan yang semakin kompleks.
Pengarah Bahagian Penyelidikan Veterinar DVS Dr Rohana Abu Bakar berkata inovasi dalaman yang dibangunkan berasaskan keperluan sebenar akan terus menjadi asas penting kepada reformasi sektor veterinar negara di samping membudayakan inovasi dalam DVS.
“Inovasi yang mereka (warga DVS) hasilkan itu susulan satu masalah yang pernah berlaku dan mereka laksanakan kajian dan beberapa pengujian sebelum dijadikan sesuatu produk atau inovasi.
“Mereka tengok apa yang boleh dibuat dan masalah itu diperbaiki melalui inovasi. Jadi tanggungjawab untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan terserlah apabila semua pegawai di lapangan dari peringkat rendah ke atasan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah yang timbul melalui inovasi produk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Hari Inovasi DVS 2025 di sini hari ini yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Badrul Hisham Mohd.
Ditanya antara produk inovasi DVS yang menjadi pengubah keadaan atau game changer jabatan itu, Rohana berkata penghasilan beg kantung atau pouch bag vaksin penternakan pada tahun lepas muncul sebagai inovasi penting dalam menyimpan vaksin pada suhu stabil di ladang-ladang terbuka seperti kawasan kelapa sawit.
“Ia bagi memastikan vaksin tidak rosak akibat pendedahan haba sekali gus meningkatkan keberkesanan vaksinasi haiwan. Ia dihasilkan oleh DVS Pahang dan setakat ini mereka buat untuk kegunaan negeri lain. Ada juga tempahan dari negeri lain dan inovasi berkenaan sudah didaftar sebagai harta intelek,” jelas Rohana.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kagum dengan peningkatan penyertaan dari 15 tahun lepas kepada 30 penyertaan tahun ini justeru menunjukkan kebangkitan budaya inovasi dan semangat kekitaan dalam kalangan warga DVS dan pemain industri veterinar.
“Hari Inovasi DVS bukan sekadar acara pertandingan, sebaliknya medan penghargaan terhadap kepakaran tempatan dan usaha gigih petugas di lapangan. Lebih membanggakan, sebahagian besar pembentang inovasi tahun ini terdiri daripada pegawai sokongan yang tampil yakin mempersembahkan hasil kerja mereka sendiri.
“Dengan peningkatan penyertaan, DVS percaya momentum ini akan terus dipacu bukan sahaja untuk memperkukuh jabatan, tetapi untuk menjadikan inovasi sebagai teras dalam membangunkan industri penternakan negara yang mampan dan berdaya saing,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah DVS Dr Akma Ngah Hamid dalam ucapannya berkata dalam era serba pantas serta dipacu oleh teknologi, inovasi bukan lagi pilihan tetapi keperluan mendesak bagi memastikan organisasi kekal relevan, tangkas dan berdaya saing.
“Sekiranya suatu proses kerja tidak mengalami perubahan dan hanya mengikut rutin dalam jangka masa yang panjang, mutu perkhidmatan bukan sahaja tidak akan meningkat, malah akan menjurus kepada penurunan produktiviti.
“Inovasi adalah cerminan bagaimana kita bukan sahaja mampu berfikir di luar kebiasaan, tetapi lebih penting lagi kita mampu menterjemahkan suatu idea kepada penyelesaian yang lestari dan memberi impak,” katanya.
Terdapat enam kategori dipertandingkan dalam Hari Inovasi DVS iaitu perkhidmatan, pendigitalan, teknologi, produk, pengeluaran ternakan dan persembahan terbaik.
DVS Negeri Terengganu muncul sebagai juara negeri keseluruhan manakala produk Karung Kucing 4.0 keluaran DVS Pahang meraih tempat pertama bagi kategori perkhidmatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial