PADANG BESAR, 27 Julai (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs) dalam usaha meningkatkan nilai tambah spesies Jati Perlis, sekali gus merangsang pembangunan ekonomi komuniti setempat melalui penghasilan produk hiliran.
Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata inisiatif itu bukan sahaja menyumbang kepada kemampanan sumber semula jadi, malah seiring dengan status Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer sebagai Tapak Biologi Geopark Perlis.
“FRIM sentiasa menyokong usaha memperkenalkan Jati Perlis sama ada di peringkat negeri, negara mahupun global. Malah, kami telah menganjurkan pelbagai program melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan serta usahawan tempatan bagi membangunkan potensi ekonomi daripada perladangan Jati ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pasar Geowarisan Se-Jati 2025 di Teak Eco Park, SPF Mata Ayer, di sini hari ini, yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Mengulas lanjut, Ismail berkata FRIM dan JPNPs telah memeterai perjanjian kerjasama sejak awal penubuhan stesen itu pada 1974 bagi memelihara kelestarian alam sekitar menerusi perladangan hutan Jati.
Katanya usaha sama itu kini diperkasakan dengan pembangunan fasiliti baharu serta penjenamaan semula kawasan tersebut sebagai Teak Eco Park, yang menjadi pusat rujukan utama berkaitan Jati dan destinasi ekopelancongan negeri.
“Penjenamaan produk hiliran Jati Perlis giat dilaksanakan bagi membina reputasi yang mampu meningkatkan nilai pasaran produk, termasuk menerusi pengiktirafan Petunjuk Geografi (GI) dan jenama Royal Perlis Jati Craft.
“Pasar Geowarisan Se-Jati 2025 yang tersenarai dalam Kalendar Pelancongan Negeri turut menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran serta penglibatan pelbagai pihak dalam memajukan industri kraf dan ekopelancongan berasaskan Jati,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial