KUANTAN, 26 Julai (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Polis Daerah Jerantut, Allahyarham Supt Zukri Muhammad, yang meninggal dunia petang tadi.
Menerusi hantaran di laman rasmi Facebook Kesultanan Pahang, baginda berdua mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh.
"Baginda berdua turut berharap agar seluruh ahli keluarga Allahyarham yang ditinggalkan reda dan tabah menghadapi kehilangan ini," menurut kenyataan itu.
Allahyarham Zukri, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Taman Saujana Utama, Jerantut kira-kira pukul 3 petang.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial