Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ekspo 2025 Osaka: 31 MoU, MoA Dimeterai IPT Malaysia-Jepun

27/07/2025 01:50 PM

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Sebanyak 31 sesi pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani antara 11 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia bersama IPT Jepun dalam 13 bidang strategik, sepanjang Minggu Pendidikan Tinggi di Pavilion Malaysia pada Ekspo 2025 Osaka yang berlangsung dari 21 hingga 26 Julai lepas.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan 13 bidang strategik itu termasuklah perubatan, ekonomi, perbankan Islam, marin, pertanian dan kejuruteraan. 

“Selain itu, pelbagai bentuk aktiviti lain turut dipersetujui, antaranya melibatkan program pertukaran pelajar dan akademia, latihan industri, projek penyelidikan bersama dan pembangunan program akademik yang selari dengan keperluan industri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan beberapa sesi padanan perniagaan turut diselaraskan dengan menghimpunkan 11 IPT Malaysia dan 20 syarikat luar negara, bertujuan memperkenalkan IPT Malaysia ke pasaran Jepun di samping menggalakkan kerjasama dua hala dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk (R&D). 

“Program yang menyediakan ruang interaksi ini meneroka potensi untuk peluang kolaborasi seperti pemindahan teknologi serta pembangunan program akademik,” menurut KPT.

Mengetengahkan tema ‘Study in Malaysia’, program itu sarat dengan pengisian bermanfaat dan jalinan kerjasama strategik, selari usaha KPT memperluaskan jaringan kolaborasi dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi di persada global.

Usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa menjadi fokus utama penyertaan KPT di Pavilion Malaysia. 

Menurut kenyataan itu, satu daripada inisiatif menggalakkan ketibaan pelajar adalah melalui program Edutourism, iaitu gabungan pendidikan dan pelancongan dengan menawarkan 168 pakej daripada 55 rakan sepadan merangkumi 11 kategori utama termasuk budaya, warisan, makanan dan pengembaraan.

Sepanjang acara itu berlangsung, lebih 100,00 pengunjung direkodkan dalam tempoh enam hari penganjuran di Pavilion Malaysia. 

Ekspo yang berlangsung setiap lima tahun itu melibatkan penyertaan 158 negara, menjadi tumpuan dengan kehadiran jutaan pengunjung dari serata dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan