MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Agenda pembangunan negara tidak harus membawa kepada perobohan hak dan kebajikan rakyat, sebaliknya mesti dilaksanakan dengan prinsip keadilan serta keseimbangan menyeluruh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pembangunan ekonomi yang mapan tidak wajar dilakukan dengan meminggirkan golongan berpendapatan rendah, tetapi pelaksanaan itu haruslah memberikan manfaat secara saksama kepada semua lapisan masyarakat.
“Jangan kita membangun sambil meroboh. Kita bina gedung, industri, teknologi, zon ekonomi … tetapi, rakyat ditekan, tidak dipedulikan. Ini bukan pembangunan yang sebenar,” kata beliau semasa berucap melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata prinsip keseimbangan atau "ummatan wasatan" yang ditekankan dalam al-Quran, merangkumi keadilan dari sudut iman dan ilmu, rohani dan jasmani serta duniawi dan ukhrawi.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan dasar fiskal yang adil, termasuk pelaksanaan cukai progresif yang menyasarkan golongan berpendapatan tinggi dan syarikat korporat yang meraih untung besar, bukannya membebankan golongan miskin.
“Kita tak boleh (kenakan) cukai (terhadap) orang miskin. Kalau sekolah nak dibaiki, duit mesti datang dari mana? Kita kenakan cukai kepada orang kaya dan syarikat yang untung berjuta-juta,” kata beliau.
Anwar turut memberikan contoh syarikat besar seperti Petronas, TNB dan Maybank yang perlu menyelaraskan dasar gaji minimum dengan keuntungan yang diperoleh.
“Kalau syarikat untung RM1 juta, tetapi bayar pekerja RM1,500 mana boleh? Kita dah mula naikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500, sekarang RM1,700. Kita akan terus naikkan secara berperingkat,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata kemerdekaan bukan sekadar simbol sejarah, tetapi juga membawa tanggungjawab memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan tidak hanya menguntungkan golongan elit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial