Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bukit Mertajam Disinari Lautan Cahaya Lilin St.Anne

27/07/2025 12:15 AM

BUKIT MERTAJAM, 26 Julai (Bernama) -- Bukit Mertajam 'bercahaya' malam ini apabila lebih 10,000 penganut Katolik berhimpun di Minor Basilica of St Anne di sini sempena kemuncak sambutan tahunan St Anne, yang juga perayaan keagamaan Katolik terbesar di negara ini.

Perayaan selama 10 hari yang bermula pada 18 Julai lalu dijadual menutup tirai esok, dengan acara malam ini menjadi kemuncak sambutan yang dinanti-nantikan penganut dari dalam dan luar negara.

Tinjauan Bernama mendapati pekarangan gereja mula dipenuhi pengunjung sejak petang, ramai daripadanya hadir bersama ahli keluarga untuk menyertai upacara keagamaan serta menunaikan hajat dan nazar.

Kemuncak perayaan malam ini dimulakan dengan perhimpunan doa pada pukul 7 malam dalam pelbagai bahasa, sebelum diteruskan dengan perarakan kereta berhias membawa patung St .Anne dan anaknya Mary iaitu ibu Jesus sambil diiringi penganut berjalan membawa lilin.

Perarakan sejauh 1.6 kilometer itu bermula jam 8.30 malam dari Pintu Pagar 3 gereja melalui Jalan Kulim, Jalan Kampung Baru dan Jalan Berjaya, sebelum kembali ke Pintu Pagar 1 kira-kira pukul 11 malam.

Seorang penganut R.Thivya Bharti, 32, berkata beliau datang bersama suaminya Jevi Jensan, 32 dan anak lelaki J.Ebenesh berusia lapan tahun bagi membayar nazar selepas hajat mereka tahun lepas telah dimakbulkan.

“Tahun lepas suami kurang sihat jadi kami telah ke sini mendoakan kesihatannya dan dengan izin Tuhan dia telah sembuh. Tahun ini kami kembali bagi membayar nazar dan pada masa sama berdoa untuk mendapat seorang lagi anak,” katanya yang datang dari Teluk Intan, Perak.

Sementara itu, penyelia kilang dari Ipoh, Diana Blomindas, 29, berkata sambutan tahun ini lebih meriah dengan kehadiran penganut yang lebih ramai serta pelbagai gerai makanan dan jualan yang memeriahkan suasana.

Beliau berkata, sejak kecil keluarganya tidak pernah ketinggalan menyertai perayaan itu dan tahun ini beliau berdoa agar ibunya, Lourdes Mary Jacob, 68, yang mengalami masalah lutut, diberi kesembuhan serta dipermudahkan urusan harian.

Bagi pemilik gimnasium, Valentina Kaur, 28, dan suaminya Ang Tunping, 38, kehadiran mereka malam ini bagi memohon keberkatan selepas penantian selama empat tahun untuk mendapatkan zuriat akhirnya tertunai.

“Bulan Mac lepas saya berdoa supaya diberikan rezeki anak tahun ini dan dua bulan kemudian doa saya dikabulkan dan saya disahkan hamil, jadi malam ini kami ke sini untuk berdoa agar kehamilan ini dipermudahkan hingga selamat bersalin,” katanya.

Perayaan St Anne tahun ini bertemakan “Merayakan, Mendengar dan Berjalan Bersama sebagai Penziarah Harapan” dengan pihak gereja menjangkakan kehadiran sekitar 100,000 penganut termasuk dari China, India dan negara Asia Tenggara lain sepanjang 10 hari sambutan.

Ia merangkumi sembilan hari novena - satu bentuk perhimpunqan doa Katolik - yang bermula pada 18 Julai lepas dan sambutan St. Anne lazimnya diraikan pada 26 Julai setiap tahun.

Gereja St Anne dinaik taraf sebagai Minor Basilica pada September 2019, menjadikannya gereja Katolik pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Ia dibina sejak pertengahan abad ke-19 dan menjadi simbol ikatan kukuh antara Gereja Roman Katolik dan Paus (Pope) di Vatican City.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan