KUANTAN, 24 Julai (Bernama) - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang mengeluarkan 42 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peruncit sejak Ops Kesan 4.0 dilaksanakan pada 1 Julai lepas sehingga semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Pahang Mohd Hafiz Ramli berkata notis itu diberikan untuk siasatan lanjut melibatkan lebih 210 unit penyimpanan stok (SKU) barangan bagi tujuan pengumpulan data dan analisis harga.
"Hasil daripada penyerahan NPMB itu, satu premis peruncit dikesan menaikkan harga secara tidak munasabah bagi tiga jenis barang dan telah dikenakan Notis Bertulis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Walkabout sempena Ops Kesan 4.0 di sebuah pasar raya di Jalan Sungai Lembing, di sini hari ini.
Mohd Hafiz berkata fokus pemeriksaan adalah pada harga barang dan perkhidmatan susulan pelaksanaan semakan Kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).
Katanya seramai 80 pegawai dan anggota KPDN Pahang terlibat dalam operasi itu yang masih diteruskan sehingga dimaklumkan kelak.
"Selain harga, kita turut memantau barangan keperluan asas utama termasuk ayam standard satu kilogram, daging lembu tempatan, tepung gandum, sardin dalam tin, krimer pekat manis dan roti putih," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial