Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Arkib Negara Komited Sedia Ruang Perkasa Penulisan Ilmiah

24/07/2025 04:43 PM

IPOH, 24 Julai (Bernama) -- Arkib Negara Malaysia (ANM) terus komited sebagai pemegang amanah memori negara dengan menyediakan ruang dan peluang kepada semua pihak bagi memperkasakan penyelidikan dan penghasilan penulisan ilmiah. 

Ketua Pengarah ANM Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata pihaknya akan terus memperluas akses kepada koleksi arkib, memperkukuh kerjasama strategik dan memanfaatkan teknologi bagi memastikan sejarah dapat diakses generasi kini dan akan datang.

"Usaha sebegini juga sejajar dengan peranan Arkib Negara sebagai agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara dalam melestarikan warisan negara melalui pengumpulan, penyelidikan dan penerbitan bahan arkib yang autentik. 

"Kami percaya sejarah tidak hanya tercatat dalam buku teks nasional semata-mata tetapi juga hidup dalam kisah-kisah masyarakat setempat yang menjadi nadi kepada pembentukan dan perpaduan negara bangsa," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku "Warisan Sejarah Hulu Reman - Hulu Perak"  di sini hari ini.

Jaafar Sidek berkata semua pihak perlu tampil menyumbang karya penulisan fakta dan bukti sejarah yang boleh meningkatkan semangat patriotik, kesetiaan dan kecintaan terhadap negara.

Beliau berkata ANM juga mengalu-alukan sumbangan bahan dan dokumen tokoh-tokoh sejarah negara untuk disimpan dan dimanfaatkan bersama oleh seluruh rakyat di negara ini. 

"Dengan maklumat dan sumber bahan yang diperolehi melalui penulisan serta penyelidikan, ia akan dapat mengubah landskap sejarah negara," katanya.

Sementara itu, Jaafar Sidek berkata Buku Warisan Sejarah Hulu Reman - Hulu Perak mengandungi empat bab iaitu Warisan Sejarah, Warisan Zaman Sejarah, Pertikaian Pramoden dan Hulu Perak Zaman Moden.

Beliau berkata buku berkenaan yang ditulis oleh Mohd Zamberi Abdul Malek menggunakan bahan arkib iaitu Correspondence Respecting the Rectification of the Boundary between Perak and Siam yang mengandungi surat, fail dan rekod memorandum pihak Foreign Office dan Colonial Office British.

Buku setebal 526 muka surat menghuraikan tentang sejarah Hulu Perak dari Zaman Prasejarah iaitu Zaman Batu ke Zaman Sejarah iaitu Zaman Perebutan Galian Bijih Timah, Zaman Pramoden iaitu Sengketa Perluasan Sempadan dan seterusnya Zaman Moden iaitu Hulu Perak di dalam Negeri Perak. 

Kawasan Hulu Perak pernah menjadi rebutan dan pertikaian antara Kerajaan Perak dan Kerajaan Reman iaitu negeri Patani. 

Kronologi insiden sejarah dan pelbagai peristiwa warisannya memberi sumbangan pengetahuan paling bermakna dan menyumbang pelbagai perkara berhubung pembangunan sosioekonomi, sosiobudaya dan perkembangan sosiopolitik di negeri ini dan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan