MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka hari ini melancarkan Buku Garis Panduan Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (JKAS) bagi memacu sinergi antara sektor awam dan swasta dalam menjayakan agenda ekonomi negeri yang lestari dan inklusif.
Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata buku berkenaan merupakan dokumen rujukan utama berkaitan garis panduan JKAS meliputi pelbagai aspek termasuk teknikal dan bersifat mesra pelabur, 'outcome -driven', responsif terhadap keperluan semasa serta selari dengan dasar pembangunan negeri, persekutuan dan prinsip 'Environmental, Social and Governance'.
Beliau berkata pelancaran Buku Garis Panduan JKAS itu seiring penjenamaan semula jawatankuasa berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa Penswastaan Negeri, dalam usaha memantapkan peranannya yang diselaras oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) melalui Seksyen Kerjasama Awam Swasta Negeri.
"JKAS berperanan sebagai sebuah entiti pemudah cara utama yang menyelaras, menilai dengan lebih sistematik dan meluluskan cadangan kerjasama awam swasta bermula daripada proses semakan awal, penilaian menyekuruh sehingga pemantauan pasca pelaksanaan.
"Justeru, semua agensi teknikal dan agensi berkaitan perlu menggunakan panduan ini secara seragam dalam setiap penilaian projek kerjasama awam swasta agar tidak berlaku pertindihan, kelewatan atau ketidaktentuan dalam membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran JKAS Negeri Melaka di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi inisiatif yang dilaksanakan itu, kerajaan negeri terus membuka ruang kerjasama dalam pelbagai skala sama ada besar atau kecil, asalkan ia memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri, menjana peluang pekerjaan dan memelihara kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Ab Rauf berkata sehingga kini lebih 50 syarikat aktif bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelbagai sektor utama merangkumi pembangunan hartanah, pelabuhan, kesihatan, pendidikan dan pelancongan.
Beliau berkata sejak 2014, inisiatif kerjasama awam swasta itu telah berjaya menyumbang lebih RM270 juta kepada hasil negeri dan secara purata, ia merangkumi antara 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan hasil tahunan negeri.
"Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi ia menjadi satu indikator keyakinan pelabur terhadap kecekapan pentadbiran yang meliputi dasar ekonomi negeri serta komitmen berterusan kerajaan negeri dalam melaksanakan prinsip 'ease of doing business’.
"Kerajaan negeri akan terus memperkukuh dasar-dasar pelaburan yang mesra perniagaan dan meningkatkan kecekapan tadbir urus agar setiap inisiatif dapat dilaksanakan dengan lancar, telus dan mampan," katanya.
Pada majlis itu juga berlangsung sesi pertukaran perjanjian dan penyerahan replika cek melibatkan dua syarikat konsesi tambakan laut berjumlah RM5.17 juta iaitu Parkland Diversified Sdn Bhd (RM3.5 juta) dan Yayasan Melaka (RM1.67 juta), sekali gus menunjukkan komitmen syarikat konsesi terhadap projek yang sedang dibangunkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial