KOTA BHARU, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) melaksanakan pelbagai program bagi membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja, termasuk Kelas Fardhu Ain dan Kelas Al-Quran kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata bermula 2019 Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JAHEAIK bersama Persatuan Aspirasi Kelantan dan Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (SAHABAT) telah menganjurkan program tersebut.
"Kelas ini terpaksa ditangguhkan sementara pada 2020 berikutan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sebelum ini di seluruh negara.
"Bermula Jun 2024, kelas ini beroperasi semula seperti biasa dengan penganjuran dua kali seminggu. Sepanjang program ini berlangsung kita dapat lihat perkembangan peserta yang berjaya menguasai bacaan al-Quran, ada yang berubah perilaku dan insaf hasil daripada program ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tuan Harun Ismail (PAS-Tawang) berhubung mekanisme kerajaan negeri dalam memantapkan akidah remaja dan mengelakkan gejala sosial pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.
Mohd Asri berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian yang serius terhadap pegangan akidah golongan remaja agar mereka tidak terjerumus ke lembah kemungkaran.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga mengadakan program Al-Muttakin untuk golongan Orang Kena Pengawasan (OKP) yang terlibat dengan masalah pengedaran dadah.
"Melalui program Al-Muttakin ini yang kita anggap sebagai program serampang dua mata, OKP dapat bimbingan secara tersusun dan berkala melalui pendekatan zikir, solat, halakah berkelompok serta rawatan jiwa dan kaunseling agar mereka dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih baik sekali gus menjadi warga yang berguna dan produktif," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial