SEREMBAN,16 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan mengesan 369 kes pelbagai kesalahan menerusi pemeriksaan di premis perniagaan, melibatkan kompaun keseluruhan RM 91,700 bagi tempoh 1 Jan sehingga semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Faizah Othman berkata menerusi pemeriksaan itu, sebanyak 249 kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, manakala 120 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
Beliau berkata bagi pemeriksaan hari ini pula, sebanyak 41 premis peniaga durian diperiksa dan daripada jumlah itu 12 peniaga dikenakan tindakan dengan jumlah kompaun RM2,500.
“12 peniaga ini dikenakan kompaun kerana kesalahan gagal mempamerkan tanda harga serta menggunakan alat timbang yang telah luput tempoh sah laku.
“Dalam operasi hari ini, lebih 30 anggota penguat kuasa termasuk cawangan KPDN di Port Dickson dan Kuala Pilah terlibat dalam menjalankan pemeriksaan terhadap peniaga durian,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan terhadap peniaga durian di sekitar Seremban di sini hari ini.
Faizah turut mengingatkan kepada semua peniaga khususnya peniaga durian, agar sentiasa memastikan alat timbang dan sukat digunakan memiliki pelekat penentusahan serta tidak tamat tempoh.
Beliau berkata peniaga didapati ingkar dan masih menggunakan alat timbang yang tidak mengikut ketetapan, boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Musim durian ini dijangka akan berlanjutan sehinga Ogos dan saya mengingatkan kepada semua peniaga termasuk para peniaga kecil-kecilan dan bermusim, untuk kekal komited mematuhi semua peraturan dan perundangan berkaitan melibatkan transaksi jual beli dilakukan.
“Semua pihak perlu memainkan peranan proaktif bagi memastikan musim durian kali ini memberi keriangan kepada para peniaga, tanpa menafikan hak pengguna,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial