Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

'Price Catcher' Mudahkan Pengguna Banding Harga, Rancang Perbelanjaan

15/07/2025 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pengguna tidak perlu lagi pening kepala mencari barangan keperluan pada harga berpatutan kerana mereka kini boleh membuat perbandingan harga dengan mudah menerusi aplikasi ‘Price Catcher’ yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Aplikasi berkenaan dilihat mampu menjadi ‘pembantu peribadi’ dalam merancang dan mengawal perbelanjaan harian, dengan membolehkan pengguna membandingkan harga barangan keperluan di pelbagai pasar raya dan premis terpilih di seluruh negara.

Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya sekitar ibu negara mendapati harga barangan yang dipaparkan menerusi aplikasi ‘Price Catcher’ adalah konsisten dengan harga sebenar di premis berkenaan, sekali gus membuktikan kebolehpercayaannya.

Namun, di beberapa pasar basah, terdapat sedikit perbezaan harga terutama pada waktu petang berikutan segelintir peniaga menurunkan harga bagi menghabiskan stok.

Secara keseluruhan, aplikasi itu dilihat memberi manfaat besar kepada pengguna yang mahu berjimat dalam keadaan kos sara hidup yang mencabar, walaupun masih ramai belum mengetahui kewujudannya.

Zaid Zufri, 42, seorang daripada pengguna ‘Price Catcher’ mengakui aplikasi itu amat membantu dalam merancang perbelanjaan harian bagi mendapatkan penjimatan yang lebih berkesan.

“Sebelum saya ke sini, saya semak dahulu harga telur dan dapati satu papan dijual pada RM12.60, sama seperti harga di aplikasi. Bawang besar import pula cuma RM2.90 sekilogram, lebih murah berbanding tempat-tempat lain,” katanya ketika ditemui di pasar raya di Taman Maluri dekat sini. 

Bagi suri rumah, Syahida Ariffin, 45, aplikasi itu amat membantu terutama ketika mencari barangan kawalan seperti minyak masak dan ayam yang sering berubah-ubah harganya.

“Aplikasi ‘Price Catcher’ paparkan harga terendah di pasar raya dan pasar basah berhampiran. Jadi, saya buat semakan melalui aplikasi ini dahulu sebelum pilih pasar raya yang tawarkan harga lebih murah, dapat jimat antara RM15 hingga RM30 bagi setiap pembelian,” katanya.

Bagaimanapun, tinjauan turut mendapati masih ramai pengguna yang tidak menyedari kewujudan aplikasi berkenaan termasuk Fadilah Fauzi, 30, yang mengakui beliau hanya membeli barangan keperluan di pasar raya berhampiran tanpa ambil peduli soal perbandingan harga.

“… tapi bila dah tahu pasal aplikasi ini, saya berminat juga untuk guna bagi menjimatkan perbelanjaan,” katanya.

Pekerja swasta, Mohd Ashraf Zamri, 35, pula mengakui faktor kesibukan menyebabkan beliau tidak pernah membuat semakan harga sebelum membeli.

“Saya beli ayam standard ini pada harga RM10 sekilogram, tapi bila semak guna aplikasi ini rupa-rupanya ada tempat yang tawarkan harga lebih murah,” katanya yang memuat naik aplikasi berkenaan selepas ditunjukkan oleh pemberita. 

Dilancarkan pada Mac 2019, ‘Price Catcher’ kini memaparkan harga 480 barangan terpilih yang dipantau secara berkala oleh KPDN di pelbagai premis termasuk pasar basah, pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan