PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Forum al-Falah MADANI akan diperluas ke seluruh negara sebagai platform libat urus strategik antara agensi agama dan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata forum itu berupaya menghimpunkan ketua agensi agama di satu pentas bagi berkongsi pandangan strategik mengenai masa depan ummah, sekali gus mengeratkan hubungan antara institusi agama dan rakyat.
“Memandangkan impak forum ini amat besar dan memberangsangkan, saya mencadangkan agar Forum al-Falah MADANI dijadikan program berkala yang digerakkan ke lokasi strategik di seluruh negara.
“Ketua agensi boleh bergilir-gilir menyampaikan amanat dan gagasan masing-masing berdasarkan kerangka Transformasi Hal Ehwal Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Agensi Hal Ehwal Agama di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata forum itu juga mampu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pelbagai isu semasa, meleraikan kekeliruan serta mendekatkan rakyat dengan kepimpinan tertinggi agensi agama.
Bagi menyahut agenda nasional kerajaan dalam meringankan beban rakyat menghadapi cabaran sosioekonomi, beliau mencadangkan semua agensi Hal Ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri berganding bahu menggerakkan inisiatif bersama dikenali “Santuni al-Falah MADANI: Agenda Kesejahteraan Sosial Ummah”.
Mohd Na’im ketika ditemui pemberita berkata program Santuni al-Falah MADANI akan diterajui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang turut berperanan sebagai penyelaras utama.
“Kita memang sudah ada program seperti ziarah asnaf dan pemberian bantuan, tetapi penyelarasan sebelum ini agak kurang. Dengan adanya program Santuni al-Falah MADANI ini, ia akan menjadi lebih berstruktur dan selaras,” katanya.
Mohd Na’im berkata aspek penyelarasan amat penting bagi memastikan segala bentuk bantuan disalurkan memberi manfaat maksimum kepada golongan asnaf dan mengelakkan pertindihan program oleh pelbagai agensi.
Beliau berkata inisiatif itu juga selari dengan Teras Kedua: Kesejahteraan Insan dalam Pelan Transformasi al-Falah, yang menekankan aspek kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam.
Menurutnya, program itu mampu berfungsi sebagai payung penyelarasan kepada pelbagai program kebajikan sedia ada, agar lebih tersusun, berstruktur dan memberi impak lebih besar kepada masyarakat khususnya golongan asnaf.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial