GEORGE TOWN, 14 Julai (Bernama) -- Projek di bawah Program Ekonomi MADANI yang dilaksanakan dalam kem tentera seluruh negara berjaya menjana pendapatan tambahan keluarga anggota, sekali gus membangunkan industri hiliran dan membantu keterjaminan makanan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata menerusi peruntukan RM10 juta, projek dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu juga menyokong usaha kerajaan merencanakan ekonomi dan kelestarian komuniti pertahanan.
Mengambil contoh projek keusahawanan madu kelulut dan cendawan tiram oleh komuniti Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara di Bayan Lepas, beliau berkata projek itu turut membantu mengisi masa lapang keluarga anggota khususnya apabila anggota terbabit terlibat dalam misi di Lebanon tahun depan.
“Bercakap mengenai kesiapsiagaan, kita bukan sahaja melihat kepada aset yang ada tetapi juga anggota dan keluarga mereka termasuk menghargai sumbangan serta pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kita faham bahawa kesejahteraan anggota termasuk soal kesejahteraan keluarga mereka.
“Kita memikirkan bagaimana hendak meningkatkan kesejahteraan keluarga ATM dan dengan kerjasama rakan strategik daripada KPT, kita telah mengenal pasti beberapa ilmu yang boleh dipindahkan kepada keluarga anggota dalam kem,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Sungai Ara dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman dan Panglima Dua Divisyen Mej Jen Datuk Fazal Abdul Rahman.
Mohamed Khaled juga merakamkan penghargaan kepada keluarga anggota ATM terlibat dua projek keusahawanan di Kem Sungai Ara itu, yang memperkenalkan elemen pertanian pintar, latihan teknikal serta peluang keusahawanan kepada ahli Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) 2 RAMD selaras dengan aspirasi Kem MADANI.
Projek madu kelulut itu adalah kolaborasi antara pasukan 2 RAMD dan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memfokuskan penternakan lebah kelulut secara sistematik menggunakan log hive (sarang batang kayu) dan teknik pemeliharaan berasaskan penyelidikan bioteknologi.
Projek penanaman cendawan tiram pula kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menggunakan sistem rumah cendawan tertutup dengan kawalan suhu dan kelembapan, membolehkan hasil tuaian berkualiti dan konsisten.
Terdahulu, Mohamed Khaled turut meninjau tahap kesiapsiagaan operasi, kebajikan anggota serta menilai kemajuan inisiatif pembangunan komuniti tentera.
Beliau juga menyantuni 300 warga Kem Sungai Ara serta menyampaikan sumbangan kebajikan RM500 kepada 15 pesakit kronik terdiri daripada warga tentera dan keluarga bertugas sekitar kawasan Kem Sungai Ara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial