KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Waris tunggal kepada keluarga mangsa nahas Sungai Korok di Kedah disahkan layak menerima dua faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil caruman bapanya.
Perkeso dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak, 31, adalah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), dengan rekod pekerjaan terakhir sebagai pengawal keselamatan menerusi hasil semakan dan penelitian.
“Menerusi caruman itu, waris yang juga anak sulung Putri Qisya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar dan Pencen Penakat bulanan RM576.25 sehingga berusia 21 tahun atau hingga tamat ijazah pertama,” katanya.
Perkeso turut menzahirkan rasa simpati dan dukacita atas kejadian menyayat hati itu dan menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan waris mangsa terus terpelihara.
“Justeru, bantuan tambahan termasuk intervensi pendidikan, penjagaan emosi dan psikososial sedang diperinci menerusi Program Sinergi Sosial demi memastikan anak sulung arwah mendapat sokongan jangka panjang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Pada 5 Julai lepas, kereta Proton Iswara dinaiki ibu bapa Putri Qisya bersama empat adiknya dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja, Kedah.
Bapanya Mohamad Azim dan ibunya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik-beradik iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7 dan Tuah Haydar, enam bulan ditemukan maut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial