KOTA BHARU, 15 Julai (Bernama) -- Projek tanaman bawang berkeluasan 30.85 hektar di tujuh jajahan di Kelantan dijangka dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada bawang import menjelang 2030.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pada masa ini, 100 peratus keperluan bawang di Malaysia diimport dari negara luar seperti India dan China.
“Sebagai contoh, pada 2022 negara kita mengimport 685,400 tan metrik bawang besar dan bawang kecil dengan nilai mencecah RM1.58 bilion. Angka ini jelas menunjukkan betapa besarnya kebergantungan kita kepada sumber luar,” katanya dalam kenyataan menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di lama Facebook rasminya hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri melalui Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi mengambil langkah memajukan sektor pertanian termasuk tanaman bawang, dengan beberapa projek diluluskan dan ada yang sedang serta akan dilaksanakan di Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh, Jeli, Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah.
Selain itu, Jabatan Pertanian Negeri Kelantan menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan untuk pembangunan tanaman bawang di Agro Valley Rong Chenok, Pasir Mas.
Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin berkata satu projek perintis tanaman bawang seluas satu hektar turut dilaksanakan di Kuala Krai pada tahun lepas, melibatkan kerjasama usahawan tempatan dan agensi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), yang dijangka menjana hasil bernilai RM1.4 juta pada 2025.
“Berdasarkan perkembangan ini, kita menyasarkan agar kebergantungan kepada import bawang dapat dikurangkan secara berperingkat dan insya-Allah menjelang 2030, sebanyak 30 peratus keperluan bawang negara dapat dihasilkan dalam negara sendiri,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata usaha meningkatkan pengeluaran dan memastikan kestabilan bekalan bawang untuk pasaran tempatan juga perlu dipergiatkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial