KOTA BHARU, 8 Julai (Bernama) -- Tindakan strategik dan holistik rentas agensi perlu digerakkan segera bagi menangani isu penyalahgunaan dadah di Kelantan yang kini berada pada tahap membimbangkan.
Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) negeri Zamakhshari Muhamad berkata tanggungjawab itu tidak wajar diletakkan hanya kepada satu pihak, sebaliknya perlu melibatkan semua agensi kerajaan serta komuniti setempat.
“Kelantan kini berada di kedudukan ketiga tertinggi … Ia memberi gambaran jelas bahawa situasi penyalahgunaan dadah di negeri ini memerlukan perhatian serius serta gerak kerja menyeluruh,” katanya kepada Bernama hari ini.
Kelantan kembali menjadi tumpuan berkaitan isu dadah susulan laporan penahanan beberapa individu termasuk seorang usahawan wanita produk kecantikan yang dikaitkan dengan rampasan pil kuda bernilai RM6.16 juta.
Zamakhshari berkata negeri itu turut mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia, iaitu 1,130 kes bagi setiap 100,000 penduduk berdasarkan data yang dilaporkan sebelum ini.
Faktor kedudukan geografi yang bersempadan dengan negara jiran turut menjadi penyumbang kepada kemasukan pelbagai jenis dadah sekali gus menyukarkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan terus menjalankan operasi tapis khas di semua daerah serta kawasan sempadan secara berkala, manakala perbincangan antara agensi berkaitan diharap dapat merangka pelan tindakan strategik yang lebih berkesan,” katanya.
Pada 20 Jun lepas, Bernama melaporkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kini berdepan dengan cabaran yang semakin kompleks dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah susulan kemunculan bahan psikoaktif baharu serta peningkatan ketara penggunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) dalam kalangan remaja dan belia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilapor berkata cabaran ini memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu merangkumi aspek pendidikan, kesedaran awam, rawatan, pemulihan serta pemerkasaan komuniti tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial