KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Isu kekurangan petugas kesihatan yang dilaporkan serius dan kritikal di hospital-hospital utama di Johor akan dibincangkan dalam satu pertemuan antara Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, petang ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata isu kekurangan petugas kesihatan telah dimaklumkan oleh Onn Hafiz kepada beliau dalam perbincangan mengenai beberapa isu berkaitan Johor pada pertemuan malam tadi.
“Isu berkaitan petugas kesihatan akan dibincangkan petang ini, insya-Allah, kita sudah ada beberapa cadangan penyelesaian yang akan diusulkan,” katanya selepas merasmikan AHIBS-ACT 2025 anjuran Azman Hashim International Business School (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Semalam, Onn Hafiz mendedahkan seorang jururawat di Johor terpaksa menguruskan 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8, khususnya di hospital-hospital utama.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan moral petugas kesihatan, malah turut memberi kesan terhadap kualiti rawatan yang diterima pesakit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial