KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Malaysia bakal menjadi tuan rumah persidangan dan pameran teknologi perubatan terkemuka di rantau ini, Medtec Southeast Asia 2025 dari 16 hingga 18 Julai di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Acara sempena Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 itu dijangka menghimpunkan pengawal selia, pengeluar, inovator dan pelabur peranti perubatan dari seluruh ASEAN untuk merangka masa depan industri teknologi perubatan serantau.
Pengarah portfolio serantau Informa Markets bagi ASEAN Rungphech (Rose) Chitanuwat berkata peserta IHW 2025 berpeluang meneroka pelbagai sektor penjagaan kesihatan serta menghadiri 125 sesi persidangan yang disesuaikan mengikut pelbagai bidang penjagaan kesihatan di bawah satu bumbung.
“Format bersepadu ini membolehkan peserta menghadiri pelbagai acara di satu tempat sekali gus menjimatkan masa dan kos sambil sambil memperoleh pemahaman menyeluruh tentang trend pasaran terkini, teknologi inovatif dan penyelesaian termaju,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Medtec Southeast Asia 2025 bertujuan meletakkan ASEAN sebagai pemain utama dalam landskap teknologi perubatan dunia melalui galakan kerjasama rentas sempadan, penyelarasan peraturan dan inovasi.
Sementara itu, menurut MdDev Sdn Bhd yang juga rakan kongsi persidangan, acara tahun ini bukan sekadar tentang jaringan hubungan tetapi menumpukan kepada usaha memperkukuh keupayaan ASEAN dalam teknologi perubatan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan serantau dan antarabangsa.
Bertemakan “Driving Innovation & Manufacturing Excellence in the MedTech Ecosystem” acara ini mengutamakan bidang baharu seperti penyelidikan dan pembangunan peranti perubatan, pensijilan halal untuk peranti perubatan, penyelesaian kesihatan digital, dan strategi untuk mengembangkan akses pasaran di seluruh ASEAN dan selainnya.
Peserta berpeluang mendapat pendedahan mengenai teknologi penjagaan kesihatan yang sedang mengubah landskap industri, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), aplikasi realiti terimbuh dalam peranti perubatan, serta Internet benda.
Lebih daripada 40 sesi bakal diadakan sepanjang tiga hari acara, merangkumi topik seperti pematuhan peraturan, aplikasi Industri 4.0 dalam pembuatan peranti perubatan, dan strategi kemasukan pasaran ke ASEAN, Amerika Syarikat, Eropah dan wilayah-wilayah lain.
Antara penceramah utama termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid; CEO Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Dr Muralitharan Paramasua, dan pengarah kanan MDA Mariammah Krishnasamy.
Acara itu turut menampilkan Vincent Lam dari TÜV SÜD PSB Malaysia yang diiktiraf untuk kepakaran dalam ujian dan pensijilan peranti perubatan.
Pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta agensi kawal selia antarabangsa, termasuk perunding dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat turut bakal berkongsi pandangan mereka.
Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan, Informa Markets menawarkan diskaun 40 peratus untuk yuran pendaftaran bagi tempoh terhad. Kos penyertaan boleh dituntut di bawah Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), meliputi yuran persidangan, penginapan dan pengangkutan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Pendaftaran kini dibuka di https://form.evenesis.com/medtec2025/registration. Maklumat lanjut boleh didapati di https://inthealthcareweek.com/medtecsea2025 atau hubungi Kiru Arul Dass di +6012-268 3818.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial