Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Keputusan Perolehan LMS Kelompok Ketiga Bakal Diputuskan Selepas Pembentangan RMK13 - Khaled

15/07/2025 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Keputusan tentang perolehan Kapal Misi Pesisir (LMS) Kelompok Tiga untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dijangka akan hanya dimuktamadkan selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada penghujung Julai ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi berhubung perolehan kapal perang itu, susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali baru-baru ini.

“Semua perolehan baharu akan diketahui kepastiannya selepas RMK13 dibentangkan. Dalam lawatan Perdana Menteri ke Itali dan Perancis baru-baru ini, perkara itu (perolehan) antara perkara yang dibincangkan.

“Tawaran negara-negara terbabit, sekiranya Malaysia melakukan apa-apa perolehan melibatkan aset negara berkenaan, mereka bersedia menawarkan kredit, maknanya kemudahan awam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Lima Program Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 di sini, hari ini.

Pada 2 Julai lepas, Anwar dilaporkan mengadakan pertemuan bersama pemimpin syarikat gergasi industri Itali termasuk Fincantieri, Leonardo dan ENI, bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan tenaga.

Dalam lawatan ke Rom itu, Perdana Menteri turut mengumumkan potensi pelaburan bernilai RM8.13 bilion.

Pada Jun tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga buah kapal LMS Kelompok Kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye, Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).

Penyerahan LOA bagi perolehan tiga buah LMS Kelompok Kedua itu berlaku ketika Mohamed Khaled melawat Turkiye.

Kapal LMS Kelompok Kedua milik TLDM itu dibina berdasarkan kepada rekabentuk kapal korvet kelas-Ada dibangunkan oleh STM yang berkemampuan melaksanakan pelbagai misi termasuk meronda dan peperangan antikapal selam (ASW).

Malaysia membelanjakan lebih RM1 bilion bagi memperolehi empat buah LMS Kelompok Satu daripada China, dengan kapal-kapal perang terbabit mula memasuki inventori TLDM bermula pada tahun 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan