KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 (Bernama) -- Kota Kinabalu bakal menjadi tumpuan seni dan budaya serantau apabila Balai Seni Negara menganjurkan program besar-besaran Borneo Creative and Culture District selama tiga hari bermula 26 September depan.
Menurut kenyataan Balai Seni Negara, penganjuran program berkenaan bertujuan mewujudkan sebuah pusat kreatif dan budaya inklusif serta dinamik dengan menghimpunkan unsur warisan, budaya dan inovasi melalui pengisian yang memberi ruang kepada keterlibatan pelbagai pihak.
"Selain memperkasakan sektor pelancongan dan merancakkan ekonomi kreatif, penganjuran itu turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan seni dan budaya dalam membentuk identiti serta memupuk perpaduan negara," menurut kenyataan itu.
Program berkenaan juga akan menjadi platform penyatuan melalui kerjasama erat antara pelbagai pihak, termasuk komuniti akar umbi, golongan belia, institusi pendidikan serta pemain industri kreatif.
"Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian menarik akan diadakan termasuk pasar seni artisan, demonstrasi seni, pameran institusi seni dan budaya, program bersama komuniti, sesi perkongsian serta persembahan muzik dan kesenian melibatkan artis dari Sabah, Sarawak dan Brunei," menurut Balai Seni Negara.
Selain itu, program berkenaan bakal dimeriahkan dengan penglibatan kolektif seni dan organisasi dari seluruh rantau Borneo.
Program itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah; Balai Seni Lukis Sabah serta pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan.
“Sebagai program rintis yang menyatukan pelbagai pihak dari rantau ini, Borneo Creative and Culture District dilihat sebagai landasan penting untuk memperkukuh ekosistem seni dan budaya serantau," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, penganjuran berkenaan diharap dapat membuka ruang kepada kolaborasi yang lebih luas, pertukaran budaya secara langsung serta pendedahan antarabangsa yang mampu melonjakkan bakat tempatan ke tahap lebih tinggi.
"Penganjuran itu diharap dapat meletakkan Kota Kinabalu sebagai antara pusat perkembangan seni dan budaya yang penting di rantau Borneo, serta memperkukuh kedudukan bandar ini dalam peta budaya serantau," menurut Balai Seni Negara.
Maklumat lanjut mengenai pengisian penuh program akan diumumkan menerusi laman sesawang rasmi Balai Seni Negara di www.artgallery.gov.my serta saluran media sosial rasmi agensi berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial