Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Agong Perkenan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 - Johari

14/07/2025 04:24 PM

SEREMBAN, 14 Julai (Bernama) -- Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk dilaksanakan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul.

Beliau berkata perlaksanaan akta itu akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah, pada pagi ini saya telah dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim perkenan tandatangan PSA. Ini bermakna Parlimen akan wujud sebagai entiti bebas.

“Parlimen mula bersidang pada 21 Julai dan saya akan berbincang dengan Menteri (Azalina) untuk menetapkan tarikh rasmi penguatkuasaan PSA ini,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Buku Panduan Parlimen Belia Malaysia (PBMy) 2025 di Klana Resort Seremban di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Penasihat PBMy Tan Sri Borhan Dolah dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman serta 50 peserta daripada pelbagai agensi pelaksana seluruh negara.

Johari berkata selepas pelaksanaan PSA, Parlimen boleh melaksanakan tugas tanpa terikat dengan arahan daripada eksekutif.

“Alhamdulillah, ini satu perjalanan panjang yang akhirnya berjaya. PSA ini adalah hasil kerjasama padu antara pembangkang dan kerajaan yang menyokong penuh seratus peratus,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, sekali gus menyaksikan Perkhidmatan Parlimen bakal mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia selepas 33 tahun.

Kelulusan itu menandakan satu kejayaan besar dalam usaha reformasi institusi yang dihasratkan Kerajaan MADANI dengan membawa pentadbiran negara kembali ke landasan melalui penggubalan RUU berkenaan bagi membolehkan Parlimen berfungsi sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.

PSA pertama kali diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992.

Johari berkata PBMy pula dijangka dilaksanakan pada Jun tahun depan dan pihak sekretariat sedang giat menyusun dasar pelaksanaan daripada aspek perancangan dasar, pembangunan sistem teknologi maklumat dan komunikasi, pelaksanaan pemilihan ahli PBMy serta program pengukuhan kepimpinan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan