Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Balai Bomba Baharu Dicadang Di Chiku Tingkat Tindak Balas Kecemasan

14/07/2025 02:46 PM

KOTA BHARU, 14 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mencadangkan pembinaan sebuah balai bomba baharu di Chiku, Gua Musang bagi meningkatkan kecekapan operasi menyelamat, khususnya melibatkan kemalangan jalan raya di laluan berisiko tinggi antara Gua Musang-Kuala Krai.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata cadangan itu telah dikemukakan untuk perancangan tahun hadapan memandangkan lokasi Chiku yang strategik di tengah laluan sejauh 117 kilometer itu. 

Beliau berkata langkah ini diyakini dapat mempercepatkan masa respons sekiranya berlaku kecemasan.

“Kita ambil iktibar daripada insiden kemalangan di Jalan Jeli-Gerik baru-baru ini yang melibatkan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kini kita pula bimbang risiko kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

“Jika berlaku kemalangan di kawasan Chiku atau Galas, balai terdekat sama ada dari Gua Musang, Kuala Krai atau Dabong memerlukan masa yang agak lama untuk tiba, sekali gus boleh melambatkan operasi menyelamat,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Tunjong, di sini hari ini.

Farhan berkata walaupun kepadatan penduduk di Chiku agak rendah dan pembangunan di kawasan itu sederhana, ia tetap merupakan laluan utama bagi pengguna jalan raya menuju Kota Bharu, menyebabkan risiko kemalangan tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata sehingga kini kawasan itu juga tidak mempunyai pasukan bomba sukarela, menyebabkan ia bergantung sepenuhnya kepada balai bomba sedia ada yang jaraknya jauh.

“Cadangan pembinaan balai ini telah pun diangkat ke peringkat tertinggi sebelum ini dan tahun ini kita kemukakan semula dengan harapan ia mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan.

“Jika diluluskan, ia akan menjadi balai bomba yang ke-23 di Kelantan dan berperanan penting memperkukuh kesiapsiagaan JBPM dalam memberi perlindungan serta bantuan kecemasan kepada masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan