Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kelantan Tuan Rumah Sambutan Hari Kebajikan Haiwan Peringkat Kebangsaan - DVS

14/07/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kelantan akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebajikan Haiwan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, yang memfokuskan kepada industri kuda di Resort Seri Nipah, Bachok pada Sabtu ini.

Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan Bahagian Regulatori Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Dr Marzuna Md Yunus berkata sambutan itu dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Universiti Malaysia Kelantan.

Mengenai pemilihan kuda, beliau berkata ia selari dengan kedudukan kuda sebagai sebahagian identiti budaya masyarakat di negeri berkenaan. 

Beliau berkata antara aktiviti yang akan diadakan sempena sambutan itu adalah pertandingan Kuda SMART, persembahan atau pertandingan menunggang kuda secara santai, sesi perkongsian maklumat kesihatan dan penyakit serta taklimat pendaftaran dan pemindahan kuda.

“Pada sambutan kali ini, program Pendaftaran Kad Pengenalan Kuda akan diadakan bagi memberi kesedaran kepada semua pemilik supaya sedar mengenai tanggungjawab dan keperluan terhadap kebajikan haiwan ini seperti yang ditetapkan kepada haiwan lain juga,” katanya ketika menjadi tetamu program ‘Apa Khabar Malaysia’ di Bernama TV di sini hari ini.

Selain itu, Dr Marzuna berkata DVS turut memperkenalkan inisiatif pemakaian mikrocip yang mengandungi nombor siri unik yang dihubungkan dengan maklumat pemilik dalam pangkalan data sebagai penandaan.

“Kami akan memberikan mikrocip dan kad pengenalan secara percuma kepada 10 peserta pertama yang mendaftar,” katanya.

Dr Marzuna juga menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali melakukan sebarang penganiayaan terhadap haiwan tanpa mengira jenis atau status haiwan, sama ada haiwan peliharaan atau haiwan jalanan.

“Perkara asas yang perlu difahami oleh masyarakat di negara ini ialah nilai ihsan dan empati terhadap haiwan. Isunya bukan sama ada kita ingin mengambil dan menjaga haiwan jalanan atau tidak, tetapi jangan sesekali menzalimi haiwan, dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau juga menyarankan pemilik haiwan memiliki pengetahuan asas penjagaan haiwan untuk memenuhi keperluan kebajikan haiwan peliharaan masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan