Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek ECRL Capai Kemajuan Penting, Terowong Genting 16.39 Km Berjaya Ditembusi

12/07/2025 09:00 PM

BENTONG, 12 Julai (Bernama) --Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat satu lagi kejayaan penting apabila kerja penembusan Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) berjaya disempurnakan mengikut jadual, sekali gus menandakan pencapaian kejuruteraan yang signifikan dalam projek mega itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata terowong yang merentasi Banjaran Titiwangsa itu merupakan antara struktur yang paling mencabar daripada keseluruhan 41 terowong sepanjang jajaran ECRL.

"Ini adalah antara komponen paling mencabar dan mahal dalam keseluruhan projek. Namun, ia mampu memendekkan masa perjalanan dari Lembah Klang ke Pahang.

“Kerja pengorekan sahaja mengambil masa lebih dua tahun untuk disempurnakan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di sini hari ini.

Menurutnya terowong itu dibina menggunakan kaedah hibrid yang menggabungkan penggunaan Mesin Pengorek Terowong (TBM) serta kaedah gerudi dan letupan.

Loke menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian yang bakal menjadikan Terowong Genting sebagai terowong rel terpanjang di Asia Tenggara, selain menandakan tahap kemajuan projek kini mencecah 85 peratus.

Dengan kerja penembusan selesai, projek ECRL kini memasuki fasa seterusnya yang merangkumi pemasangan landasan, sistem elektrifikasi, isyarat dan komunikasi, serta kelengkapan dalaman stesen.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke memaklumkan kementeriannya sedang meneliti cadangan untuk menyambung laluan ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan bagi memperkukuh jaringan perhubungan dengan Thailand.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak, menyifatkan kejayaan menembusi Terowong Genting sebagai satu detik bersejarah dalam projek tersebut.

"Pasukan ECRL berdepan cabaran luar biasa dalam proses pengorekan melalui kawasan Banjaran Titiwangsa yang berbukit-bukau dan tidak menentu dari segi geologi," katanya dalam satu kenyataan

he Malaysia Book of Records (MBR) turut mengesahkan pencapaian Terowong Genting iaitu Terowong Rel Terpanjang di Malaysia dan Terowong Rel Dengan Puncak Tertinggi (Highest Overburden), terletak di bawah kawasan pergunungan setinggi lebih 750 meter.

Projek ECRL dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 dan perkhidmatan tren bagi laluan Kota Bharu ke Gombak, Selangor dapat beroperasi menjelang Januari 2027, sementara jajaran kedua dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap setahun kemudian.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan