Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rel Troli Pengangkut Barang Era Perang Dunia Kedua Ditemui Di Fort Cornwallis

09/07/2025 09:17 PM

GEORGE TOWN, 9 Julai (Bernama) -- Rel troli pengangkut barang yang dipercayai tinggalan sistem pengangkutan 'wagon' era Perang Dunia Kedua ditemui tertanam di bawah jalan bersebelahan kawasan Fort Cornwallis di sini pada 26 Jun lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penemuan itu mencatat sejarah arkeologi bagi Pulau Pinang dan ia menambah satu dimensi baharu terhadap Fort Cornwallis serta kawasan sekitarnya.

"Penemuan rel itu adalah ketika kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki dan landskap dilakukan oleh pasukan projek di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, berhampiran benteng barat laut kubu bersejarah tersebut.

"Rel sepanjang lebih 7.4 meter itu dikesan lengkap dengan susunan pengalas rel (sleeper) asal, menjadi bukti fizikal yang signifikan kepada infrastruktur logistik ketenteraan silam di tengah-tengah bandar warisan George Town," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kawasan penemuan rel itu, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan tulisan yang tertera pada rel tersebut, ia dibuat pada 1895 namun tidak dapat disahkan tahun ia dipasang dan bukan kali pertama laluan rel lama ditemui di kawasan berkenaan. 

Chow berkata pada 2017 dan 2018, segmen serupa pernah ditemui di kawasan dalam Fort Cornwallis sendiri dan dipercayai jajaran rel kereta api melingkari kubu itu dengan anggaran sepanjang 4 hingga 5 kilometer.

Katanya rel itu dipercayai sebahagian daripada sistem pengangkutan ringan yang dibina pihak British dan mungkin digunakan secara aktif oleh tentera Jepun semasa perang untuk mengangkut peluru, makanan serta minyak dari pelabuhan ke gudang penyimpanan di sekitar Esplanade dan Fort Cornwallis.

"Berdasarkan gambar udara dari War Office yang dikeluarkan pada 1945, jajaran rel ini melingkari kawasan Fort Cornwallis dan terdapat kemungkinan ia merupakan bahagian daripada sistem rel yang juga digunakan oleh Penang Hill Railway sekitar 1930-an.

“Kajian lanjut masih dijalankan untuk mengesahkan sejarah penuh jajaran rel ini dan kita percaya ia berfungsi sebagai nadi logistik pelabuhan," katanya sambil menambah rel itu akan didokumentasikan.

Beliau berkata penemuan itu menarik perhatian Jabatan Warisan Negara (JWN), Perbadanan Pemulihan dan Pembangunan George Town (GTCDC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selain kerajaan negeri, yang telah mengadakan lawatan penilaian bersama untuk menentukan kaedah pemuliharaan terbaik.

Chow berkata beberapa cadangan sedang dikaji termasuk mewujudkan pameran terbuka dengan rel itu dikekalkan di tempat asal dan lengkap dengan papan penerangan serta elemen landskap bagi memberikan pengalaman dan pendedahan kepada pengunjung terutama pelancong asing.

Menurutnya pemeliharaan rel troli pengangkut itu bukan sahaja bakal menjadi tarikan pelancongan dan sejarah yang signifikan malah turut berpotensi besar untuk dimanfaatkan dalam usaha memperkukuh nilai sejarah dan warisan kawasan North Seafront sebagai lokasi bersejarah utama di Pulau Pinang.

"Berdasarkan lawatan (di luar negara) sebelum ini mendapati banyak negara telah berjaya mempamerkan tinggalan rel zaman perang dengan pendekatan kreatif dengan ia kekal di tempat asal dan dilindungi kaca tebal supaya orang ramai boleh melihatnya.

"Susulan lawatan bersama JWN, kerajaan negeri dan agensi terlibat bersetuju untuk mengekalkan rel ini sebagai sebahagian daripada pameran awam terbuka namun perbincangan lanjut akan dibuat sebelum ia dimuktamadkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan