Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKM Bincang Dengan JPA Bagi Pengisian Perjawatan Tetap Baharu Pegawai Perubatan

12/07/2025 08:23 PM

KULAI, 12 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan libat urus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan pengisian perjawatan tetap baharu membabitkan jawatan pegawai perubatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata langkah itu bagi meringankan bebanan ditanggung pegawai perubatan selain mengisi kekosongan di kemudahan kesihatan awam di seluruh negara.

Beliau berkata KKM telah memohon supaya perjawatan tetap pegawai perubatan ditambah dan punca kuasa perkara ini bukan terletak di bawah KKM.

"Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab juga sedang melihat secara menyeluruh mengenai pengagihan tidak seimbang dan pengisian mengikut keperluan semasa pegawai perubatan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau dan Hari Tuberculosis Sedunia di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Beliau diminta mengulas gesaan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira yang meminta kerajaan memansuhkan lantikan jawatan doktor secara kontrak bagi memulihkan keyakinan mereka untuk terus berkhidmat dalam sektor awam.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata KKM juga sudah menyelesaikan fasa pertama e-Placement membabitkan penempatan 2,231 pegawai perubatan.

"Pegawai perubatan perlu faham bahawa perjawatan tetap ini untuk seluruh Malaysia. Apa yang berlaku ketika ini adalah 60 peratus permohonan pegawai perubatan itu dipenuhi yang kita meletakkan mereka di fasiliti kesihatan atas permintaan mereka.

"Kita mempunyai ruang dan kekosongan perjawatan pegawai perubatan di Sabah, Sarawak dan Labuan. KKM memohon supaya pegawai perubatan ini dapat menerima perpindahan mereka ke Sabah dan Sarawak kerana jawatan itu adalah jawatan tetap,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata kerajaan akan mencari mekanisme untuk mempertahankan pegawai perubatan daripada berhijrah ke luar negara termasuk dengan menambah baik aspek kebajikan. 

Lukanisman berkata kementeriannya akan memastikan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik dapat dinikmati doktor tempatan memandangkan negara kini menjadi sasaran hospital dan syarikat perubatan dari Singapura yang menawarkan gaji lumayan.

"Walaupun kerajaan belum mampu menawarkan gaji setimpal seperti negara luar, namun kita sedang menambah baik sistem supaya sekurang-kurangnya dapat memberi keseimbangan yang lebih baik antara kerja dan kehidupan. Isu-isu seperti ‘on-call’, kelelahan pegawai perubatan serta masalah buli di hospital sedang dibincangkan kerana ia bukan perkara yang boleh kita selesaikan hanya melalui kempen,” katanya.

Beberapa media tempatan pada 9 Julai lepas melaporkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura sedang menjalankan sesi temu duga secara langsung dengan doktor dan pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan