KUCHING, 12 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pertambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kepada 99 sebagai langkah tepat dan berasaskan keperluan sebenar negeri itu yang memiliki keluasan hampir menyamai Semenanjung.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata keputusan itu berlandaskan penelitian dan perbahasan di peringkat negeri selain mengambil kira faktor seperti saiz kawasan, kepelbagaian etnik serta keperluan pentadbiran, bukan semata-mata berdasarkan bilangan penduduk.
“Ada yang mengatakan kriteria ini sepatutnya berdasarkan jumlah penduduk namun kita kena lihat bukan sahaja jumlah penduduk, tetapi juga keluasan kawasan dan representasi kumpulan etnik kerana Sarawak ini luasnya hampir sebesar Semenanjung Malaysia.
“Saya menyokong langkah ini kerana sudah pasti ia memberi pentadbiran lebih berkesan untuk kita membangunkan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kursus ‘AI for MY Future’ kawasan Parlimen Petra Jaya di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini.
Fadillah berkata dengan penambahan kerusi DUN, lebih banyak kawasan luar bandar akan mempunyai wakil rakyat tersendiri seterusnya membolehkan suara masyarakat setempat dibawa ke peringkat penggubalan dasar negeri.
Ditanya sama ada langkah itu berkait dengan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau menegaskan fokus utama tertumpu kepada kecekapan pentadbiran.
“Saya tidak boleh mengatakan perkara itu (sebahagian daripada MA63) tetapi apa yang lebih penting ialah fokus kita mentadbir Sarawak dengan lebih berkesan dan efisien,” katanya.
Pada 7 Julai lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) DUN Sarawak (Komposisi Keanggotaan) 2025 untuk menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN itu kepada 99 berbanding 82 sebelum ini.
Menyentuh mengenai projek rintis kursus kecerdasan buatan (AI) bagi Parlimen Petra Jaya, Fadillah berkata 108 peserta dengan majoritinya terdiri daripada pemimpin masyarakat telah menjalani kursus berkenaan bagi menguasai kemahiran asas seperti analisis data dan penyediaan dokumen dalam urusan harian.
Beliau berkata matlamat akhir program dengan kerjasama Microsoft itu adalah untuk melahirkan kumpulan pelatih yang mampu melatih masyarakat setempat khususnya di kawasan luar bandar.
“Keberkesanan program ini akan dinilai oleh Microsoft sebelum dapat diperluas ke seluruh negeri, kalau kita dapat kenal pasti lokasi masyarakat yang memerlukan bantuan melalui data, kita boleh merancang dengan lebih tepat dan efisien,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial