SUKAN > BERITA

JMR Ungguli Podium Pada GT World Challenge Asia Di Okayama

31/08/2025 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Kejayaan muncul naib juara pada pusingan ke-10 GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Okayama, Jepun hari ini menjadi detik gemilang buat pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) apabila Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim yang bergandingan bersama pemandu profesional Britain Alexander Sims mencatat keputusan terbaik musim 2025.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu, selepas mencatat masa keempat terpantas pada sesi kelayakan bersama jentera JMR Chevrolet Corvette Z06 GT3.R, Sims berjaya mengelak daripada terlibat dalam beberapa insiden pada awal perlumbaan sebelum memberi tekanan berterusan kepada pemandu di kedudukan kedua.

Apabila mengambil alih pemanduan, Tunku Abu Bakar pantas memecut jentera nombor 66 ke kedudukan kedua sebelum mengekalkan rentak konsisten sehingga ke garisan penamat untuk meraih gelaran naib juara yang cukup bermakna.

Selepas turut menaiki podium pada pusingan terdahulu di Fuji, Tunku Abu Bakar kini menunjukkan prestasi cemerlang pada penghujung musim ketika perlumbaan menuju ke dua pusingan terakhir di litar jalan raya di Beijing pada Oktober ini.

“Kami menamatkan perlumbaan di tempat kedua, satu keputusan yang sangat baik. Saya cuba sedaya upaya mengejar jentera di tempat pertama, namun kekurangan kelajuan mengekang usaha kami. Saya berjaya melakukan pintasan yang baik pada awal pemanduan saya, dan saya rasa kami menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding perlumbaan semalam,” kata Tunku Abu Bakar dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, perlumbaan hari ini menjadi hari yang mengecewakan buat pasangan jentera nombor 99 yang dipandu Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bersama pemandu profesional England Ben Green.

Green berjaya meletakkan JMR Corvette di petak hadapan selepas muncul kedua terpantas pada sesi kelayakan, namun insiden pada pusingan pertama menyaksikan jentera itu terpaksa menarik diri akibat kerosakan suspensi.

Perlumbaan pada Sabtu juga tidak memihak kepada pasukan JMR apabila kedua-dua jentera nombor 99 dan 66 terperangkap dalam insiden di selekoh pertama, sekali gus menamatkan saingan masing-masing di kedudukan ke-9 dan ke-11.

Tunku Abdul Rahman kini berada di tempat ketiga dalam saingan kejuaraan Pro-Am, hanya ketinggalan 15 mata daripada pendahulu dengan baki dua pusingan lagi.

Pusingan ke-11 dan ke-12 dijadualkan berlangsung di litar jalan raya di Beijing pada 17 hingga 19 Okt ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan