Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek MyGenom Mulakan Perekrutan Di Sabah

11/07/2025 07:11 PM

KOTA KINABALU, 11 Julai (Bernama) -- Perekrutan bagi Projek MyGenom bermula di Sabah hari ini, dengan pelancaran Pengumpulan Data Penyelidikan MyGenom Zon Sabah oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan bersama memaklumkan, pelaksanaan projek yang bermula di Kota Kinabalu itu digerakkan melalui kerjasama fasiliti KKM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Kerjasama ini dapat memperkukuh penglibatan akar umbi serta melancarkan operasi rekrutmen di kawasan bandar dan pedalaman Sabah, dengan keunikan kepelbagaian genetik dan etnik menjadikan negeri ini sebagai tumpuan utama dalam projek MyGenom,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, kedua-dua kementerian menyeru penyertaan aktif rakyat Sabah, khususnya komuniti Bumiputera yang sebelum ini kurang diwakili dalam kajian genomik, agar mereka turut menerima manfaat daripada pembangunan perubatan jitu dan dasar kesihatan masa depan.

“Projek MyGenom merupakan inisiatif strategik untuk membina aset genom negara bagi memperkasa sistem kesihatan berasaskan data dan teknologi, selaras dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan dan kerangka Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Projek ini dilaksanakan di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) menerusi Program Perdana 4 yang menumpukan kepada penggunaan teknologi omik dan terapi bersasar dalam penjagaan kesihatan awam.

Menurut kenyataan itu, KKM bertanggungjawab terhadap aspek persampelan dan analisis genomik berkaitan kesihatan awam, manakala MOSTI melalui Malaysian Genome and Vaccine Institute (MGVI) di bawah National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) mengetuai penjujukan genom menggunakan kemudahan berteknologi tinggi.

Projek tersebut kini berada di Fasa 1, dengan sebanyak 3,150 peserta dari Semenanjung dan Sarawak telah direkrut sejak Ogos 2024, daripada sasaran keseluruhan 3,600 peserta.

Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengetuai pelaksanaan projek ini dengan memberi tumpuan kepada komuniti yang kurang diwakili termasuk Bumiputera Sabah, Sarawak dan Orang Asli.

Setakat 19 Jun 2025, sebanyak 1,080 genom telah berjaya dijujuk dalam negara dengan kerjasama teknikal KKM dan sokongan pelaburan MOSTI dalam sistem penjujukan berprestasi tinggi, yang membolehkan pemprosesan ratusan sampel secara efisien, selain memastikan kedaulatan data genetik kekal di Malaysia.

Fasa 2 projek itu akan diperluas dengan sasaran 10,000 genom rakyat Malaysia yang mewakili pelbagai etnik, lokaliti dan latar belakang, bagi mengelakkan bias dalam pemahaman penyakit serta tindak balas terhadap rawatan.

“Data genomik ini akan digunakan secara berfasa dalam pengurusan penyakit kronik seperti jantung, kanser, diabetes serta penyakit jarang jumpa,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan