Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Cakna Kesihatan, Pengunjung PMR Terengganu Serbu Reruai Kementerian Kesihatan

11/07/2025 05:30 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Julai (Bernama) -- Biarpun reruai hanya dibuka pada 9 pagi, pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 di Pasar Payang, di sini, sudah mula beratur panjang sejak awal pagi bagi mendapatkan saringan kesihatan percuma.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung tanpa mengira usia sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan nasihat kesihatan daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seorang pengunjung, Zainal Khamis, 63, berkata beliau tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan selepas menerima makluman mengenai program itu menerusi kumpulan WhatsApp komuniti setempat.

“Saya memang ambil berat soal kesihatan, jadi apabila tahu ada pemeriksaan percuma, saya terus datang. Alhamdulillah, semua bacaan saya masih terkawal,” kata pesara dari Kuala Terengganu itu kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, seorang pegawai bank, Irfaniza Badrul, 35, berkata beliau singgah ke reruai saringan kesihatan ketika berkunjung ke tapak PMR kerana ingin memeriksa tahap kolesterol dan mendapatkan nasihat, memandangkan beliau mempunyai masalah kolesterol tinggi.

“Syukur tahap kesihatan saya memuaskan, dan pegawai kesihatan tadi ada beri nasihat supaya saya bersenam 30 minit setiap hari untuk mengekalkan kesihatan yang baik,” katanya.

Penolong Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Kuala Terengganu Royharcinta Harman Shah, berkata inisiatif seperti ini penting terutamanya di Terengganu, memandangkan kecenderungan penduduk menikmati makanan manis yang meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit jika tidak dikawal.

“Kita ambil inisiatif ini untuk mendidik orang ramai supaya lebih cakna terhadap tahap kesihatan mereka. Sebagai contoh, kita dapat mengesan risiko awal dan mengambil tindakan susulan dengan memberikan surat rujukan bagi temu janji di fasiliti kesihatan sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata pelbagai perkhidmatan kesihatan ditawarkan sepanjang tiga hari program berlangsung, antaranya pemeriksaan paras gula dalam darah, kolesterol, tekanan darah serta indeks jisim badan (BMI), selain saringan kesihatan menerusi program PeKa B40 dan imunisasi vaksin influenza percuma kepada individu berusia 60 tahun ke atas.

PMR 2025 Terengganu yang berlangsung selama tiga hari hingga Sabtu ini menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung, selaras dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, program itu dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan