Daripada Mohd Khairi Idham Amran
GENEVA (Switzerland), 11 Julai (Bernama) -- Penjenamaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kepada NADI MADANI yang dijadualkan dilaksanakan pada September ini, seiring dengan perluasan fungsi pusat berkenaan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sesuai dengan hasrat penjenamaan berkenaan, beberapa inisiatif baharu akan diperkenalkan, antaranya capaian Internet yang lebih pantas dan penawaran perkhidmatan e-kesihatan.
“Jadi, dengan ada banyak lagi kemudahan dan juga perkhidmatan yang kita sediakan, kita akan membuat satu usaha penjenamaan semula daripada NADI menjadi NADI MADANI.
“Kita jangka ia (penjenamaan) akan mula dilaksanakan pada bulan September tahun ini,” katanya kepada media pada Sidang Kemuncak Dunia mengenai Acara Peringkat Tinggi Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) di sini hari ini.
Beliau berkata dengan keahlian hampir dua juta di 1,099 NADI di seluruh negara, pusat berkenaan juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan.
“Saya lihat NADI mempunyai keupayaan untuk menjadi tempat usahawan tempatan memperoleh sama ada kemahiran baharu ataupun mencari peluang bagi pasaran baharu dengan Internet dan e-dagang,” katanya.
NADI merupakan satu daripada inisiatif yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan objektif menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada komuniti, khususnya di luar bandar dan dari kawasan yang kurang liputan perkhidmatan.
Pusat berkenaan juga bertujuan memperkasakan komuniti melalui program yang lebih mampan dan relevan untuk merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi selain menyediakan platform untuk masyarakat luar bandar, terutamanya komuniti sekitar mendapat maklumat yang terkini dan tepat berkenaan inisiatif-inisiatif kerajaan.
Usaha NADI mendapat pengiktirafan pada peringkat global apabila menjadi juara Hadiah Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) 2025 melalui Inisiatif NADI Pulau Banggi yang berjaya menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada satu daripada komuniti pulau paling terpencil di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial