Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Teknologi Terkini Penting Untuk Masa Hadapan ASEAN Campur Tiga - Mohamad Hasan

10/07/2025 09:31 PM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Penggunaan teknologi terkini penting bagi memastikan ASEAN Campur tiga (APT) kekal tangkas, cerdas, terselaras dengan baik dan berorientasikan masa hadapan, agar terus memainkan peranan yang relevan dan berkesan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata transformasi digital serantau ASEAN dijangka menyumbang kira-kira US$2 Trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau, disokong kepakaran teknologi dari China, Jepun dan Korea Selatan.

“Inisiatif seperti ini menyokong objektif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, iaitu merapatkan jurang pembangunan, membolehkan pembangunan yang saksama, mempromosikan pertumbuhan mampan, memupuk keamanan melalui kepercayaan dan kerjasama bersama, mempertingkatkan taraf hidup dan modal insan, serta menggalakkan perpaduan sosial dan penyertaan secara terangkum dan mampan,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Tiga ke-26 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya selaku penyelaras negara Campur Tiga, Menteri Luar China Wang Yi dan Timbalan Menteri Luar Pertama Korea Selatan Park Yoon Joo.

Mohamad berkata APT mewakili populasi berjumlah 2.28 bilion orang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal keseluruhan kira-kira US$29.33 trilion, atau 25.77 peratus daripada KDNK global.

Beliau berkata skala ini menekankan kepentingan strategik dan keterlibatan global terhadap kerjasama itu, serta tanggungjawab yang dipikul dalam memastikan kestabilan serantau, pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan.

Mohamad berkata ASEAN mengulangi komitmen bersamanya untuk terus memperkukuh kerjasama APT sebagai pemacu kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Timur.

“Di tengah-tengah perkembangan serantau dan global yang kompleks, kepentingan platform yang menggalakkan dialog dan kerjasama seperti ini tidak pernah lebih jelas dan ketara berbanding sekarang,” katanya.

Mengimbau semula perjalanan rantau ini, Mohamad berkata ASEAN dan rakan-rakannya telah menempuh pelbagai cabaran pada tahun-tahun sebelum ini dengan bersatu, menyelaraskan respons, bertahan dan mengatasi kesukaran.

“Sebagai hasilnya, APT telah berkembang menjadi antara rangka kerjasama yang paling kukuh dan berpanjangan di rantau ini. Ia menjadi lambang kerjasama berpasukan yang boleh dipercayai, dinamik dan mampu mengharungi realiti serantau yang kompleks.

“Ia membolehkan kita berunding, menyelaras dan bekerjasama bukan sahaja pada masa krisis, tetapi juga dalam usaha kita untuk mencapai keamanan yang berterusan, pertumbuhan inklusif dan ketahanan bersama di Asia Timur,” katanya.

Mohamad turut mengalu-alukan perkembangan positif terkini termasuklah pengesahan Kemudahan Pembiayaan Pantas (RFF) di bawah Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMiM) dan momentum yang terhasil daripada kenyataan pemimpin mengenai Ekosistem Kenderaan Elektrik (2023) dan Pengukuhan Rantaian Bekalan Serantau (2024).

“Ini bukanlah pencapaian yang terpencil. Ia menunjukkan keupayaan APT untuk menjana nilai, bertindak tangkas dan memimpin dengan pandangan jauh ke hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan