KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan melawat ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini pada Khamis pada sela-sela penyertaannya dalam mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58.
Pada lawatan itu, Fidan turut tampil sebagai tetamu khas rakaman program semasa Bernama TV, The Nation: Diplomatic Dispatch, bertajuk "Malaysia, Turkiye and the ASEAN Outlook”.
Wawancara itu akan disiarkan pada 12 tengah hari Jumaat (11 Julai), dengan siaran ulangan pada 2 petang Sabtu (12 Julai) menerusi saluran Bernama TV.
Terdahulu, Fidan tiba sekitar 5.10 petang dan disambut Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Azlina Aziz dan Editor Eksekutif (menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang) Perkhidmatan Berita Antarabangsa Mohd Shukri Ishak, bersama beberapa pegawai kanan agensi berita itu.
Fidan tiba di Kuala Lumpur pagi Khamis bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi bersempena AMM, memandangkan Turkiye merupakan Rakan Dialog Sektoral ASEAN.
Pesawat membawa Fidan mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.30 pagi.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang bermula Selasa diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial