KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Rusia meneroka pelbagai kaedah untuk meningkatkan kerjasama menerusi pertemuan dua hala antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Rusia Sergey Lavrov di ibu negara pada Khamis.
Semasa pertemuan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, kedua-dua pemimpin membincangkan usaha memperkukuh hubungan dalam bidang teknikal serta lain-lain bidang yang menjadi kepentingan bersama.
Mohamad turut menyatakan hasrat Malaysia untuk menambah bilangan pelajar khususnya dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Rusia.
“Saya menyatakan keinginan Malaysia mendapatkan lebih banyak tempat untuk pelajar kita, dan Rusia telah memberikan persetujuan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dua hala itu.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama serantau yang lebih meluas, termasuk potensi Rusia untuk menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANFWZ).
“Rusia sedang mempertimbangkan untuk menandatangani Perjanjian SEANFWZ bersama ASEAN, dan dokumentasi mengenainya akan dirunding di peringkat pegawai,” kata Mohamad.
Lavrov berada di Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Rusia, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15 dan Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32.
Agensi berita Rusia TASS, melaporkan bahawa Lavrov dan Mohamad telah membincangkan kerjasama dua hala serta potensi untuk membentuk perkongsian strategik antara Moscow dan ASEAN.
Laporan yang memetik kenyataan Kementerian Luar Rusia, menyatakan bahawa tumpuan khusus diberikan kepada cabaran serantau serta potensi untuk mengukuhkan perkongsian strategik antara Rusia dan ASEAN dengan Malaysia selaku Pengerusi semasa.
Sementara itu, Lavrov ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan berkata: “Ia satu pertemuan yang baik.”
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Rusia menjalin hubungan dengan ASEAN pada 1991 dan menjadi Rakan Dialog sepenuhnya pada 1996. Pada 2018, kedua-dua pihak meningkatkan hubungan itu kepada Perkongsian Strategik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial