Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KBS Tetap Laksana Had Umur Belia Pada 1 Januari - Hannah

10/07/2025 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini yang berkuat kuasa 1 Januari tahun depan tetap dilaksanakan selepas ditunda sebanyak dua kali, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membuat penjelasan mengenai perkara itu melalui beberapa sesi libat urus selain memberikan sokongan dana untuk membantu dalam pelaksanaan transisi had umur ini.

"KBS akan mengusulkan satu kertas kerja ke Jemaah Menteri supaya semua kementerian kekal meneruskan bantuan dan sokongan sedia ada, mengikut kumpulan umur masing-masing bagi tempoh tertentu," katanya pada sidang media selepas persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), hari ini. 

Terdahulu, beberapa delegasi menyatakan kerisauan bahawa persatuan belia, khususnya di luar bandar, tidak bersedia untuk pelaksanaan berkenaan, selain ada yang mahu had umur ditetapkan pada 35 tahun. 

Hannah pada November 2023 berkata penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 akan bermula 2026, iaitu pindaan melibatkan penetapan had umur menjadi ahli pertubuhan belia antara 15-30 tahun, had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia kepada 18-30 tahun dan mengehadkan tempoh jawatan ketua pertubuhan belia selama empat tahun.

Menurut KBS terdapat 8,272 pertubuhan belia berdaftar secara sah di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan 53,535 orang (54 peratus) pemegang jawatan terdiri mereka di bawah umur 30 tahun. 

Daripada jumlah itu, hanya 865 (10 peratus) pertubuhan belia telah membuat pindaan perlembagaan sebagai persediaan untuk had umur 30 tahun, termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC). 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan