Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AMM Ke-58: Wakil Tinggi EU, TPM Pakistan Tiba Di Malaysia

10/07/2025 06:33 PM

SEPANG, 10 Julai (Bernama) -- Wakil Kesatuan Eropah (EU) ke mesyuarat peringkat tinggi ASEAN Kaja Kallas, tiba di Malaysia pada Khamis untuk menghadiri siri mesyuarat sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM).

Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan itu dijadual menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32 pada Jumaat, bersama menteri-menteri luar ASEAN dan rakan dialog untuk bertukar pandangan mengenai isu keselamatan serantau dan global.

Pada hari yang sama, beliau akan menyertai Persidangan Pasca Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-EU, selain dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan antarabangsa dan serantau, ketika berada di Kuala Lumpur.

Terdahulu, antara delegasi yang tiba hari ini ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Mohammad Ishaq Dar, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.10 pagi, serta Ketua Delegasi Mongolia Enkhtaivan Dashnyam, pada 11.40 pagi.

Setiausaha Negara Luar, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan United Kingdom David Lammy tiba pada 5.10 petang, pemimpin terakhir yang tiba di Malaysia bagi menghadiri siri mesyuarat peringkat tinggi.

 AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk pertemuan dengan rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.

Mesyuarat peringkat tinggi yang sedang berlangsung di KLCC dari 8 hingga 11 Julai itu, menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan