Oleh Nabilah Saleh
SUBANG JAYA, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di sini hari ini untuk menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) yang dianjurkan oleh Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Lavrov mengetuai delegasi Rusia ke mesyuarat itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai.
Delegasi tersebut mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 8.27 pagi dan disambut oleh Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman dan Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl M. Latypov.
Beliau dijadual menyertai Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-Rusia dan Forum Serantau ASEAN (ARF), bersama rakan dialog utama yang lain.
Lavrov juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa rakan sejawatnya di luar sesi mesyuarat tersebut.
Rusia menjalin hubungan dengan ASEAN pada tahun 1991 dan menjadi Rakan Dialog sepenuhnya pada tahun 1996.
Pada tahun 2018, kedua-dua pihak telah meningkatkan hubungan tersebut kepada Perkongsian Strategik.
Sementara itu, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan Menteri Luar Switzerland Ignazio Daniele Giovanni Cassis, juga tiba awal pagi ini untuk menghadiri mesyuarat peringkat tinggi yang diadakan sempena AMM.
Kedua-dua negara merupakan Rakan Sektoral ASEAN.
Pesawat membawa Fidan mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.30 pagi, manakala pesawat yang membawa Cassis dan isterinya Paola Rodoni Cassis, mendarat pada jam 12.44 tengah malam.
Turut tiba pagi ini ialah Menteri Hal Ehwal Luar, Pekerjaan Asing dan Pelancongan Sri Lanka Vijitha Herath, bersama delegasinya yang mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada jam 6.31 pagi.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk pertemuan dengan rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.
Mesyuarat peringkat tinggi yang sedang berlangsung di KLCC dari 8 hingga 11 Julai itu, menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial