Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

94 Peratus Manifesto MyPenang Telah Dan Sedang Dilaksanakan - Chow

19/05/2026 04:04 PM

GEORGE TOWN, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri berjaya melaksanakan 60 peratus daripada keseluruhan 50 manifesto yang merangkumi 16 teras utama di bawah Manifesto Kerajaan Perpaduan 2023 (MyPenang Manifesto) setakat 30 April lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata daripada 50 manifesto itu, 30 telah direalisasikan, manakala 17 lagi atau 34 peratus sedang dalam pelaksanaan dan hanya tiga manifesto atau enam peratus belum dimulakan.

“Kejayaan mencapai 94 peratus bagi status ‘telah’ dan ‘sedang dilaksanakan’ dalam tempoh ini membuktikan keberkesanan kerjasama serta komitmen barisan kepimpinan negeri dalam memastikan setiap janji direalisasikan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Komtar, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Bagi memastikan pelaksanaan setiap manifesto dipantau secara telus dan berkesan, beliau berkata kerajaan negeri membangunkan papan pemuka digital “MyPenang Manifesto” bagi membolehkan pemantauan data secara masa nyata dilakukan oleh setiap agensi pelaksana.

Chow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata penggunaan teknologi itu bertujuan memastikan setiap inisiatif mencapai sasaran ditetapkan selain memastikan peruntukan rakyat dibelanjakan secara optimum.

Beliau berkata kerajaan negeri kini memberi tumpuan untuk menggerakkan baki tiga manifesto yang belum dilaksana, iaitu penubuhan Tabung Pembangunan Sosial Negeri daripada kutipan fi kesihatan ke atas warga asing, skim perumahan sewa khas bagi golongan belia dan bujang serta penyediaan pusat upacara “kirigai” di setiap daerah selain pembinaan sekolah Tamil baharu ke-29 di negeri itu.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut mempergiat usaha menyiapkan 17 manifesto yang sedang berjalan mengikut jadual termasuk lapan projek bernilai RM1 bilion bagi meningkatkan pembekalan air terawat dan Program Mempelai Emas RM500 secara sekali bayar untuk setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.

Chow berkata antara manifesto yang telah dilaksanakan ialah penubuhan Pusat Warga Emas Aktif di setiap daerah, mengembangkan Skim Mikro Kredit Harapan (RM5,000-RM50,000) khas kepada golongan usahawan kecil dan bantuan sekali bayar RM1,000 kepada setiap jemaah haji daripada golongan B40.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM100 juta untuk pelaksanaan projek tebatan banjir, tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar B40 setiap tahun, peruntukan RM20 juta kepada Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Rendah Agama Sepenuh Masa, Maahad Tahfiz, Sekolah Agama Rendah, Tadika Islam, Sekolah Pondok serta KAFA Tulen juga menjadi antara pencapaian utama kerajaan negeri.

Chow berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam menunaikan mandat rakyat dengan manifesto berkenaan kini dijadikan pelan tindakan rasmi pentadbiran negeri.

“Kerajaan negeri tidak melihat janji ini sebagai retorik politik semata-mata, sebaliknya ia adalah kontrak sosial yang perlu diterjemahkan dalam bentuk pembangunan dan kebajikan yang nyata,” katanya.

Pada 2023, PH dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang melancarkan Manifesto Perpaduan dengan 16 tema utama antaranya cakna kebajikan dan memperjuangkan sosioekonomi rakyat sekali gus menjadi kesinambungan kepada dasar, polisi serta rekod prestasi kerajaan negeri selama 15 tahun ketika itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan