Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PBT Selangor Diminta Pantau, Pastikan Lokasi Mykiosk Berada Di Kawasan Sesuai

09/07/2025 12:22 PM

SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) -- Kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta menjalankan pemantauan dan siasatan bagi memastikan peletakan unit gerai MyKiosk dilakukan di lokasi yang sesuai dan teratur.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata langkah itu penting bagi memastikan lokasi kios berkenaan berada di kawasan yang selamat, strategik serta memudahkan urusan antara peniaga dan pelanggan.

“Saya minta semua PBT buat pemantauan dan siasatan yang sebaiknya sebelum meletakkan MyKiosk. Biar ia teratur dan berada di tempat yang telah dikenal pasti sebagai sesuai.

“Sekiranya didapati tidak sesuai, kita beri tempoh tiga bulan. Jika lokasi itu memang tidak sesuai, tidak menarik peniaga atau kurang sambutan… maka kita akan cari lokasi baharu kerana MyKiosk ini boleh dipindahkan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) berhubung keperluan meneliti semula kesesuaian lokasi MyKiosk serta kadar cagaran yang dikenakan sekiranya terlalu tinggi.

Ng berkata sebanyak 1,028 unit MyKiosk telah dibina di seluruh negeri dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20.33 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM19,508,520.56 dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), manakala baki RM822,211 ditanggung oleh PBT bagi kerja-kerja penyediaan tapak, tertakluk kepada keperluan dan keadaan fizikal di lokasi berkenaan.

“Secara purata, kos pembinaan bagi seunit MyKiosk adalah sebanyak RM19,785.80, merangkumi kos struktur dan penyediaan tapak mengikut kesesuaian di lokasi,” katanya.

MyKiosk merupakan inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan.

la bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat dengan memberi manfaat kepada para peniaga melalui pemberian kadar sewaan kios yang rendah. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan