Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Perkenal Modul Astronomi Untuk Murid Ketidakupayaan Penglihatan

07/07/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Murid yang mengalami masalah penglihatan di negara ini kini mampu "meneroka" angkasa selepas pelancaran Modul Astronomi Khas bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ketidakupayaan penglihatan, hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata modul hasil kerjasama Planetarium Negara dan Hibiscus Petroleum Berhad itu merupakan inisiatif penting ke arah menjadikan pendidikan sains dan teknologi lebih inklusif, khususnya dalam bidang astronomi.

“Modul ini direka khas untuk digunakan di sekolah-sekolah yang mempunyai murid dengan keperluan khas, terutamanya yang mengalami ketidakupayaan penglihatan sekali gus menjadikan pendidikan astronomi lebih mudah diakses dan tidak terhad kepada mereka yang sempurna penglihatan,” katanya ketika berucap melancarkan modul berkenaan di Planetarium Negara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengarah Planetarium Negara Mohd Zamri Shah Mastor dan Pengerusi Hibiscus Petroleum Berhad Zainul Rahim Mohd Zain.

Chang berkata sebanyak 12 sekolah telah dikenal pasti sebagai penerima fasa awal modul berkenaan melalui Program Transit Astronomi Inklusif.

Beliau berkata modul itu menggunakan model sentuhan seperti permukaan matahari dan sistem suria, disokong dengan audio naratif serta kesan bunyi yang membolehkan pengalaman pembelajaran menjadi lebih menyeluruh.

“Dengan sokongan teknologi yang sesuai dan penambahbaikan berterusan, pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang inklusif ini mampu memberikan impak besar kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) yang sering terpinggir dalam bidang ini,” katanya.

Chang berkata inisiatif itu selari dengan prinsip keterangkuman yang digariskan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara serta gagasan Malaysia MADANI yang menekankan akses pendidikan adil untuk semua.

Beliau turut berharap lebih banyak kolaborasi antara kerajaan dengan sektor swasta dapat dilaksanakan bagi membantu anak-anak yang berdepan kekangan fizikal menuntut ilmu supaya mereka tidak tercicir dalam arus pendidikan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan