KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Jenazah Allahyarham Koperal Mohd Haswansir Julnasir, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang meninggal dunia semasa menjalani latihan selaman di perairan Kuantan, Pahang, Khamis lepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gusung Melanta Tesi, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah pada jam 2.30 pagi tadi.
TDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan jenazah Mohd Haswansir, 30, terdahulu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang untuk proses bedah siasat sebelum diterbangkan ke kampung halamannya menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Kuantan ke Tawau, pada 7.30 malam semalam.
“TDM akan menubuhkan satu Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini, serta menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga Allahyarham dalam menghadapi waktu yang sukar ini.
“Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta turut berdukacita atas kehilangan seorang warganya yang sangat terlatih,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, Allahyarham ialah anggota elit terlatih Skuadron Perahu Khas (SPK) dari Grup Gerak Khas (GGK) Rejimen 22 Komando.
Menurut TDM, Koperal Mohd Haswansir dilaporkan hilang pada jam 12.15 tengah hari ketika melaksanakan latihan menggunakan alat selaman sistem litar tertutup (CCBA) di perairan Dock Port, Kuantan.
“TDM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta-merta dan hasil kerjasama bersepadu, jenazah Allahyarham ditemui oleh pasukan rondaan permukaan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada kira-kira 10 pagi semalam.
“Lokasi penemuan adalah pada jarak anggaran 500 meter dari tempat kejadian dan ketika ditemui, semua peralatan termasuk kelengkapan selaman CCBA dan senjata M4 ditemui lengkap bersama mangsa,” menurut kenyataan itu.
Menurut TDM sebagai anggota elit, Allahyarham merupakan seorang anggota yang sangat terlatih dalam kepakaran serangan amfibi dan operasi penyusupan maritim dan latihan yang dijalaninya itu merupakan sebahagian daripada keperluan untuk mengekalkan kemahiran peringkat tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial