Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Hargai Sokongan Perancis Terhadap Misi Peralihan Tenaga - PM Anwar

04/07/2025 06:51 PM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

PARIS, 4 Julai (Bernama) -- Malaysia menghargai sokongan Perancis terhadap misi peralihan tenaga dan transformasi ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan itu terjalin menerusi penglibatan aktif syarikat Perancis seperti firma utiliti elektrik Engie SA, syarikat petroleum dan tenaga bersepadu TotalEnergies SE dan gergasi aeroangkasa dan pertahanan Thales SA.

Anwar berkata penghargaan itu disampaikan semasa pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya François Bayrou di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Perancis berkata pertemuan bersama  Bayrou itu membuka lembaran baharu hubungan Malaysia dan Perancis.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menyentuh pelbagai bidang kerjasama strategik termasuk pelaburan bernilai tinggi dalam bidang seperti aeroangkasa, semikonduktor dan automotif, kerjasama tenaga bersih, pertahanan, pendidikan, serta latihan teknikal dan vokasional (TVET). 

“Saya dan PM Bayrou kemudiannya menyaksikan pertukaran tiga dokumen penting yang bakal memperkukuh kerjasama strategik Malaysia dan Perancis merentas bidang pertahanan, ekonomi dan teknologi,” kata Anwar.

Beliau berkata, perjanjian persefahaman antara syarikat perlombongan Malaysia, Malaco Mining Sdn Bhd dan pakar kitar semula dan penapisan nadir bumi Perancis, Carester, menandakan pencapaian besar dalam pembangunan industri nadir bumi selari dengan komitmen prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan inisiatif tenaga boleh baharu negara.

Menurut Perdana Menteri surat tawaran kepada Thales pula memperkukuh keupayaan pemantauan ruang udara Malaysia menerusi dua radar jarak jauh baharu.

“Manakala kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)  dan Business France akan merancakkan promosi perdagangan dua hala merentasi sektor strategik seperti aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital,” kata beliau.

Anwar berkata beliau juga menekankan kepentingan komitmen pengeluar pesawat Perancis, Airbus, terhadap penghantaran pesawat A330 Neo yang telah dipersetujui bersama Malaysia Aviation Group (MAG), bagi memastikan kelangsungan operasi dan pelaburan yang efisien. 

Menurut beliau, AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, juga menunjukkan keyakinan terhadap teknologi Perancis melalui komitmennya untuk membeli sejumlah pesawat Airbus, sekali gus memperkukuh hubungan industri penerbangan antara kedua-dua negara

Sebagai rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU), Anwar berkata beliau yakin hubungan dengan Perancis akan terus berkembang selaras dengan aspirasi bersama ke arah pertumbuhan yang mampan dan masa depan yang lebih inklusif.

Perdana Menteri berkata beliau juga telah menjemput Bayrou untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia sebagai langkah memperteguh hubungan erat kedua-dua negara.

Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara EU. 

Pada 2024, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM15.95 bilion (US$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (US$1.49 bilion) direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

-- Bernama

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan