LABUAN, 2 Julai (Bernama) -- Buat julung kali, Kapal Doulos Hope yang juga dikenali sebagai perpustakaan terapung berlabuh di Labuan Liberty Wharf pada 10.45 pagi hari ini dan akan berada di sini kira-kira sebulan.
Bermula esok, orang ramai berpeluang menaiki kapal itu untuk menikmati pengalaman menarik sambil membelek pelbagai koleksi buku.
Perpustakaan terapung itu akan dibuka setiap hari dari 1 petang hingga 9 malam kecuali pada Isnin, untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan.
Labuan, satu daripada destinasi persinggahan dalam siri jelajah Doulos Hope, bertujuan mempromosikan literasi dan pertukaran budaya melalui penjualan buku pada harga berpatutan selain aktiviti komuniti atas kapal.
Majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 10 Julai dan kapal berkenaan akan berada di perairan Labuan hingga 27 Julai.
Doulos Hope dikendalikan oleh sebuah pertubuhan kebajikan dan diuruskan sukarelawan dari seluruh dunia, menawarkan ribuan judul buku merangkumi pelbagai topik termasuk pendidikan, pembangunan diri, kekeluargaan, dan keagamaan.
Keluarga, pelajar dan pencinta buku di seluruh Labuan dipelawa untuk mengambil peluang mengunjungi kapal ini dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
Menurut kenyataan pengendali pelabuhan Megah Port Management Sdn Bhd, satu kawasan khas untuk menaikkan dan menurunkan penumpang telah disediakan di kawasan tempat letak kereta terbuka Dataran Labuan berhampiran Blue Wave.
Bayaran masuk ialah RM2, namun percuma untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta warga emas berusia 65 tahun ke atas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial