JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 56 peratus setakat Jun.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia melibatkan pembinaan landasan, pembangunan stesen serta ujian sistem dan tren.
"Saya yakin, semua ini adalah permulaan yang baik dalam mengangkat Johor sebagai kuasa ekonomi utama di rantau ini.
"Ia juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan dan Singapura dalam membina prasarana yang moden, efisien dan selamat untuk keselesaan rakyat," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Onn Hafiz berkata RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar, di sini ke Woodlands North, Singapura dalam hanya lima minit, akan menyelesaikan masalah kesesakan sempadan serta mengeratkan hubungan Malaysia-Singapura dan merangsang ekonomi serantau.
Beliau berkata projek yang dijangka siap penghujung 2026 itu direka dengan kecekapan tinggi dan mampu membawa 10,000 penumpang setiap jam setiap hala serta kekerapan 3.6 minit semasa waktu puncak, sekali gus berupaya menampung hingga 180,000 penumpang sehari.
Onn Hafiz bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini menyaksikan pelancaran tren pertama RTS Link di Singapura yang turut dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial