Oleh Mohd Syazwan Mustafa
JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Mulai esok, kerajaan akan menguatkuasakan sepenuhnya Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia–Singapura, menyaksikan pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit berkenaan berisiko dikompaun RM300.
Penguatkuasaan itu selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), iaitu menjadi suatu kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di dalam Malaysia.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 4 Jun lepas berkata pelaksanaan sistem VEP penting bukan sahaja untuk kawalan aliran trafik rentas sempadan, tetapi juga bertujuan mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang jalan raya terhadap kenderaan asing.
Kegagalan mematuhi keperluan itu turut menyebabkan kenderaan terbabit tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia sehingga saman diselesaikan dan tag VEP diaktifkan.
Semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua diwajibkan mendaftar menerusi portal https://vep.jpj.gov.my/, membayar fi RM10 untuk pelekat VEP jenis Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang sah untuk tempoh lima tahun, serta menjelaskan Caj Jalan RM20 bagi setiap kemasukan.
Menurut maklumat daripada laman rasmi https://vep.jpj.gov.my/, kenderaan yang didaftarkan VEP akan diberikan tag RFID yang tidak boleh dipindah milik dan mempunyai pengecaman unik bagi setiap kenderaan serta sah untuk tempoh lima tahun.
Bagi pemilik kenderaan persendirian individu yang hanya melakukan prapendaftaran, saman akan dikeluarkan dan mereka tidak dibenarkan keluar dari Malaysia sehingga bayaran diselesaikan.
Untuk kenderaan milikan syarikat, notis dikeluarkan sekiranya hanya prapendaftaran dibuat manakala kompaun tetap dikenakan jika tiada sebarang pendaftaran.
Bayaran kompaun hanya diterima secara tanpa tunai di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), trak bergerak, atau platform dalam talian seperti MyEG.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan sejak 1 Okt 2024, pelaksanaan VEP telah dimulakan secara berfasa dengan pendekatan advokasi, iaitu notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura yang belum mendaftar.
Setakat 2 Jun lepas, sebanyak 231,018 pelekat VEP telah dikeluarkan kepada kenderaan persendirian dan syarikat dari Singapura, namun hanya 194,507 telah dipasang dan diaktifkan manakala 36,511 atau kira-kira 15.8 peratus masih belum diaktifkan.
Sepanjang tempoh advokasi antara 1 Okt 2024 hingga 31 Mei 2025, sebanyak 52,012 kenderaan telah diperiksa, dengan 2,245 notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik yang belum melengkapkan proses pengaktifan tag VEP.
Sementara itu, tinjauan Bernama di sebuah pusat beli-belah di Skudai yang turut berfungsi sebagai pusat pendaftaran VEP hari ini mendapati pemilik kenderaan Singapura mengambil kesempatan pada saat akhir untuk melengkapkan pendaftaran.
Seorang pekerja swasta, Jia Hui, 34, yang sering ke Johor atas urusan keluarga dan membeli-belah berkata dia memahami keperluan pelaksanaan sistem VEP itu demi keselamatan dan pengurusan trafik sempadan.
“Bagaimanapun, saya berharap proses pemasangan tag dan pengesahan dapat dilakukan dengan lebih mudah, terutama untuk rakyat Singapura yang bekerja di Malaysia," katanya.
Seorang lagi warga Singapura, Amira Natasha Osman, 26, meluahkan rasa lega kerana pusat VEP kini dibuka di beberapa lokasi.
“Sekurang-kurangnya kami ada lebih banyak pilihan untuk mendaftar dan mendapatkan tag tanpa perlu bersesak atau menunggu terlalu lama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial