KUALA TERENGGANU, 29 Jun (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memeriksa keadaan cuaca sebelum melakukan aktiviti di laut terutama pada waktu petang dan malam.
Pengarahnya Rosli Zakaria berkata berdasarkan ramalan pihaknya, sepanjang minggu ini iaitu hari ini (Ahad) hingga Sabtu, hujan dan ribut petir dijangka kerap melanda pada waktu petang dan malam.
“Kita sekarang berada dalam musim Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September atau Oktober, tetapi bagi negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu, sepanjang minggu ini cuaca dijangka hujan dengan ribut petir di sebelah petang dan malam.
“Kalau ribut petir, ia akan bawa sekali angin kencang dan ombak yang tinggi di kawasan pantai. Jadi saya nak nasihatkan sebab sekarang ini sedang rancak musim mencandat sotong, dengan cuaca yang tidak menentu ini semua pihak perlu berjaga-jaga," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan orang awam dan komuniti laut untuk merujuk ramalan kaji cuaca yang disediakan melalui pelbagai platform termasuk laman sesawang MetMalaysia, aplikasi myCuaca dan talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 sebelum melakukan sebarang aktiviti.
Dalam kejadian pada 10.30 malam tadi, tiga termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan tiga tahun maut dalam kejadian bot terbalik di Pulau Perhentian.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu dalam sidang media hari ini berkata dalam kejadian itu, S. Arumugam, 40, dan anaknya A. Sarrvihka, 3, dan saudara mereka V. Vennpani, 10, maut manakala 12 lagi termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun kritikal dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.
Katanya kejadian berlaku ketika ribut, hujan lebat dan laut bergelora menyebabkan bot yang membawa 15 penumpang berusia tiga hingga 40 tahun itu terbalik dan karam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial