KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kekangan kewangan dihadapi seorang remaja lelaki untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) mendapat perhatian segera daripada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini.
Dalam satu hantaran melalui media sosial sempena sambutan Maal Hijrah, Fadhlina mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memaklumkan isu itu kepadanya dan menyatakan bahawa pasukannya sedang berhubung dengan keluarga remaja terbabit.
“Alhamdulillah, pasukan saya sedang berhubung dengan keluarga untuk menguruskan anakanda ini meneruskan pengajiannya ke IPG.
“Anggap sahaja selesai dan mari kita sama-sama mendoakan kejayaan anak ini dalam pengajiannya kelak. Inilah semangat hijrah yang kita mahukan!,” katanya.
Sebelum ini, tular kisah remaja itu melalui laman sosial apabila dilaporkan media bahawa mungkin tidak dapat melanjutkan pengajian di IPG Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang akibat kekangan kewangan yang dihadapi keluarganya ekoran ayahnya hanya seorang penoreh getah manakala ibunya tidak bekerja serta menghidap kanser tahap empat sejak lebih setahun lepas.
Muhammad Syahmi Azril Saidiljamal, 18, berkata dia menerima tawaran untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan dijadualkan mendaftarkan diri di IPG itu pada 11 Ogos ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial