PADANG BESAR, 26 Jun (Bernama) -- Sebanyak 40,000 benih ikan baung dilepaskan ke dalam Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dekat sini hari ini yang merupakan antara inisiatif berterusan untuk memperkasakan sektor perikanan rekreasi dan kelestarian sumber di Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata selain dapat memelihara sumber perikanan tempatan, ia mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi penduduk setempat menerusi aktiviti rekreasi seperti memancing dan menjala.
"Inisiatif ini boleh menjadi antara tarikan kepada pemancing serta masyarakat luar yang datang ke sini. Usaha ini juga membantu meningkatkan sumber pendapatan kepada komuniti sekitar melalui aktiviti rekreasi berkenaan,” katanya kepada pemberita pada program pelepasan benih ikan itu hari ini
Pelepasan benih ikan itu disempurnakan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli. Turut hadir Pengarah Perikanan Perlis Mohammed Roshaizat Mustaffa.
Sementara itu, Razali berkata kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang memberikan peruntukan tambahan RM2 juta sekali gus menjadikan peruntukan keseluruhan RM5.8 juta bagi tahun ini untuk manfaat sektor pertanian di Perlis.
Dalam pada itu, Mohammed Roshaizat berkata pelepasan benih ikan baung itu dapat mengekalkan populasi ikan asal di kawasan berkenaan selain mengimbangi semula ekosistem yang terjejas akibat kehadiran spesies ikan invasif.
“Antara spesies ikan invasif yang dikenal pasti mengganggu ekosistem ialah ikan peacock bass dan ikan bongkok. Ikan ini membiak dengan cepat dan memakan telur ikan tempatan sehingga menjejaskan populasi ikan seperti baung, temperas dan patong.
“Kami juga telah menjalankan program kesedaran bersama komuniti dan pelajar universiti untuk menangkap ikan invasif ini, namun impaknya masih dalam pemantauan kerana kadar pembiakan ikan-ikan ini sangat cepat,” katanya.
Beliau berkata orang awam diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya melepaskan sebarang spesies ikan ke dalam sungai atau tasik tanpa kebenaran Jabatan Perikanan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai di Perlis.
“Mesyuarat Exco baru sahaja meluluskan Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai yang membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana pihak yang melepaskan spesies ikan tanpa kebenaran kerana ia boleh merosakkan khazanah sumber asli kita,” katanya.
Beliau berkata program pelepasan ikan itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial